Lapan kilang ingkar SOP dikompaun, diarah tutup

Ops Pematuhan Covid 3.0 selama dua hari bermula Sabtu mengesan lapan buah kilang di sekitar daerah Klang Utara, yang tidak patuh SOP Sekatan Pergerakan Penuh.
Ops Pematuhan Covid 3.0 selama dua hari bermula Sabtu mengesan lapan buah kilang di sekitar daerah Klang Utara, yang tidak patuh SOP Sekatan Pergerakan Penuh.
A
A
A

KLANG - Lapan buah kilang di sini, dikompaun dan diarahkan tutup serta-merta kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesalahan itu dikesan menerusi operasi Ops Pematuhan Covid 3.0 pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) selama dua hari bermula Sabtu.

Menurutnya, empat pasukan ditubuhkan dengan memfokuskan kilang yang beroperasi di sekitar Sungai Kapar, Meru, Bandar Sultan Suleiman dan Bandar Bukit Raja.

"Hasil operasi, sebanyak 37 kompaun telah dikeluarkan terhadap pemilik kilang dan pekerja.

"Lapan buah kilang iaitu kilang ais, kilang cat, kilang acuan besi, kilang proses minyak sawit serta peralatan elektronik diarah tutup kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan, tiada surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain tidak termasuk dalam sektor yang dibenarkan beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kompaun yang dikenakan ke atas pemilik kilang adalah kerana gagal menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus, gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera.

Katanya, bagi kesalahan pekerja pula adalah gagal mengimbas kod MySejahtera atau mencatat kehadiran dalam buku yang disediakan serta tidak memakai pelitup muka.

Dalam perkembangan lain, Nurulhuda berkata, bermula 1 Jun hingga Ahad, sebanyak 143 kompaun telah telah dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP terhadap individu serta peniaga.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menasihatkan kepada pengusaha syarikat supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti kilang yang mencurigakan di kawasan Klang Utara dengan menghubungi Bilik Gerakan di talian 03-3292222," katanya.