Tubuhkan institusi dialog kebangsaan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KETIKA rakyat sering menyalah gunakan ruangan alam maya terutama media sosial secara tidak terkawal dan beretika, maka banyak saluran pendidikan seharusnya dilancarkan sebelum berita palsu dan maklumat dusta semakin tersebar dengan lebih meluas.

Oleh itu, langkah segera harus diambil untuk mencari agenda lain yang sekurang-kurangnya dapat melawan maklumat palsu yang disebarkan di media sosial sama ada bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Agenda yang perlu dikemukakan kepada masyarakat dan pemerintah pada masa kini ialah mencari satu saluran alternatif media sosial dengan menubuhkan organisasi bercorak kemasyarakatan bagi membicarakan agenda keilmuan. Saluran alternatif ini juga dapat mendidik orang ramai cara perbualan dan penyampaian berita dengan lebih seimbang serta beradab.

Kalau di beberapa buah negara dunia lain telah wujud saluran ini, maka kita juga haruslah melahirkan organisasi dialog yang boleh dinamakan sebagai organisasi dialog kebangsaan.

Diharapkan dialog itu tidaklah seharusnya menjadi perdebatan tanpa matlamat, sebaliknya merupakan platform forum perbincangan dan pertukaran pandangan terbuka untuk mencari penyelesaian yang baik bagi kepentingan umum.

Peserta dialog haruslah mendengar pandangan orang lain untuk memahami, meneliti isu pokok dan mendapatkan persepakatan, bukan hanya berusaha mencari kelemahan orang lain dan menekan habis-habisan secara negatif.

Sebaliknya perbincangan seharusnya berusaha mengembangkan sesuatu isu dan fikiran yang berkemungkinan pula dapat mengubah pandangan peserta lain dan dalam masa yang sama berkemungkinan dapat menilai semula sesuatu andaian atau pemikiran asal yang dibuat sebelumnya.

Ia dapat membolehkan rakyat menilai kembali andaian yang telah dikeluarkan sebelum itu, tanpa mengubah sedikitpun pandangan asal yang agak menyeleweng.

Artikel Berkaitan:

Politik partisan melulu dan melampau, demikian juga sikap taksub keterlaluan dalam isu perkauman, keagamaan serta hal-hal lain. Isu sensitif itu haruslah dibicarakan dengan penuh keadilan dan amanah bagi menegakkan satu peradaban bangsa dan budaya yang tinggi.

Pada zaman ini rakyat menyedari bahawa jawatan pemerintahan negara haruslah diberikan kepada orang yang mempunyai nilai dan sikap jujur serta amanah, sikap yang berdasarkan falsafah dan penghayatan integriti.

Oleh itu badan atau organisasi dialog ini haruslah mampu mendidik para pesertanya dengan disiplin diri yang tinggi.

Telah terbukti dengan jelas dalam dunia bertamadun pada masa kini bahawa sesuatu institusi dan sistem hidup yang baik akan menjadi rosak binasa dan hancur lebur sekiranya ditangani serta diuruskan oleh pemimpin yang rosak akhlak dan rendah moral.

Apatah lagi tidak mempunyai etika dan bersifat kepentingan diri sendiri serta melupakan kepentingan awam sama sekali.

Penyakit buruk itu nampaknya lebih banyak merebak dalam zaman pandemik Covid-19 ini dengan tersebarnya berita, kenyataan dan seruan yang telah diselewengkan dan menyebabkan penipuan dalam masyarakat kita ini.

Memanglah dalam jangka masa panjang hal ini seharusnya dibawa ke saluran pendidikan formal bagi memperbaikinya, namun dalam jangka masa pendek, maka banyak cara lain yang boleh dilaksanakan termasuk cadangan ini.

Saya yakin bahawa isu ini akan dapat lebih diperkemaskan oleh para sarjana kita yang selama ini lebih suka berdiam diri daripada berbicara secara terbuka.

Malah saya juga percaya bahawa cadangan ini hanya merupakan satu saluran daripada banyak saluran lain lagi yang seharusnya digabungkan sebagai satu mekanisme yang holistik.

Kerajaan dengan saluran media cetak dan maya haruslah menggembelengkan tenaga semua jentera untuk memberi pendidikan kepada masyarakat dengan sebaik-baiknya dalam hal ini.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia