PKPD: Keliru SOP punca penduduk serbu pasar raya

Gambar tular di media sosial menunjukkan penduduk di tiga lokaliti PKPD beratur untuk masuk ke pasar raya Mydin Manjoi.
Gambar tular di media sosial menunjukkan penduduk di tiga lokaliti PKPD beratur untuk masuk ke pasar raya Mydin Manjoi.
A
A
A

IPOH - Tidak bersedia dan keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) antara faktor penduduk di tiga lokaliti Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini berpusu mendapatkan barangan keperluan di pasar raya dan kedai runcit sepertimana gambar tular di media sosial pada Ahad.

Penduduk terlibat iaitu dari Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah yang dikenakan PKPD bermula Ahad diberi kebenaran untuk membeli barang keperluan di premis berkenaan selepas pihak berkuasa menerima aduan kehabisan bekalan makanan di rumah masing-masing.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kinta dalam satu notis memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju supaya pasar raya Mydin Manjoi dan kedai runcit dalam kawasan PKPD itu dibuka satu hari iaitu dari jam 2 petang hingga 8 malam pada Ahad sebelum PKPD dikuatkuasakan semula pada jam 10 malam.

Pembukaan itu terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas dengan hanya seorang sahaja wakil isi rumah keluar untuk membeli.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2,

Ishak Ahmad Sani berkata, ramai penduduk terlibat menjangkakan SOP kali ini sama sepertimana PKPD Mukim Hulu Kinta yang masih membenarkan ketua rumah keluar membeli barangan keperluan harian.

Hakikatnya kata beliau, tiada sebarang pergerakan dibenarkan dan semua sektor perniagaan termasuk pasar raya dan kedai runcit yang berada dalam lingkungan kawasan itu tidak dibenarkan beroperasi.

"Berlaku sedikit kekeliruan kerana semasa PKPD Mukim Hulu Kinta dulu, kita dibenarkan keluar untuk ke pasar dan kedai, maka kali ini mereka ingat SOP sama terpakai.

Artikel Berkaitan:

"Apabila dimaklumkan tidak boleh ada sebarang pergerakan keluar masuk, ramai mula panik kerana tidak sempat sediakan stok makanan dan ada pula sudah kehabisan bekalan keperluan asas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, memahami keadaan itu, JPKK setiap kampung membuat permohonan agar premis berkaitan makanan dibuka sekurang-kurangnya satu hari bagi membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan sepanjang tempoh menghadapi PKPD.

"Saya dimaklumkan memang ramai yang keluar ke pasar raya dan kedai runcit tadi hingga berbaris panjang," katanya.

Nirhana Abdul Aziz, 48, berkata, ibunya, Norhayati Razali, 65, yang tinggal di Kampung Sungai Tapah terpaksa beratur hampir satu jam sebelum dapat masuk dan berbelanja di pasar raya.

Katanya, kebetulan dia tinggal di kawasan luar PKPD, jadi tidak dapat membantu menguruskan barangan keperluan makanan rumah ibunya yang memang sudah kehabisan bekalan.

"Orang memang ramai jadi mak beli mana yang penting dahulu seperti bawang, gula, cili, sedikit sayuran dan bekalan ikan serta ayam.

"Lain-lain keperluan akan saya uruskan kemudian kerana orang luar tidak dibenarkan masuk, jadi terpaksa kita hantar keperluan makanan menerusi PKOB," katanya.

PKPD di tiga lokaliti berkenaan berkuat kuasa selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti.