Mowgli Malaysia: Sultan Mizan kagum karya Abdullah Dean

Wan Azizah dan Muhammad Syukur (kanan) melihat hasil karya Abdullah Dean.
A
A

KUALA TERENGGANU - Karya jurugambar, Abdullah Dean Mohd Zain yang tular di media sosial mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, baginda mahu pengiktirafan diberikan terhadap Abdullah Dean.

"Abdullah Dean ialah jurugambar yang terawal mengambil gambar Muhammad Syukur Khamis sehingga meraih pelbagai anugerah dalam dan luar negara.

"Semasa menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah pagi ini, baginda bertitah jurugambar itu mesti diberikan pengiktirafan. Tuanku berbangga dengan karya yang dihasilkan," katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Penghargaan Perdana - Karyawan Lensa Budaya kepada Abdullah Deen dalam majlis Temu Mesra Warga PKR Terengganu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Selain itu, Muhammad Syukur, 14, turut menerima menerima wang tunai RM1,000 serta plak penghargaan susulan penglibatannya di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis itu, Wan Azizah turut menyampaikan penghargaan kepada waris Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, Mohd. Mustafa serta dua lagi penyelamat, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, dan Shahrul Mizan Harun, 34.

Mereka adalah wira penyelamat dalam kejadian lemas di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar Syukur ada aura