Warga tahfiz mahu segera divaksin

Mohd Azlan
Mohd Azlan
A
A
A

IPOH - Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) mahu warga tahfiz di negeri ini diberikan keutamaan menerima vaksin bagi fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusinya, Mohd Azlan Suhaimi berkata, terdapat 7,800 warga tahfiz melibatkan 5,800 pelajar, 780 guru dan selebihnya ahli jemaah pengelola maahad tahfiz daripada 141 maahad tahfiz di negeri ini.

Menurutnya, warga tahfiz tidak menolak untuk divaksin malah mengharapkan agar mereka segera menerima suntikan tersebut agar proses pengajian dapat berjalan seperti biasa.

"Kita mohon agar satu program khas pemberian vaksin diadakan khusus untuk warga tahfiz di Perak agar kumpulan ini dapat segera divaksin sekali gus sekolah dapat beroperasi seperti biasa.

"Takwim pengajian di maahad tahfiz berbeza dengan sekolah harian dan jika pelajar terus bercuti, sukar untuk mereka memenuhi kurikulum yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Ahad.

Mohd Azlan berkata, pihaknya turut mencadangkan agar pelajar tahfiz diletakkan di dalam senarai menunggu jika terdapat penerima vaksin yang tidak dapat hadir menerima suntikan pada temu janji ditetapkan.

Katanya, warga tahfiz juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan pihak Jabatan Kesihatan Perak kerana sebelum ini mereka memberikan kerjasama untuk melakukan saringan besar-besaran terhadap sekolah tahfiz.

Jelasnya, berdasarkan rekod itu, Pematap mengharapkan warga tahfiz dapat diberikan keutamaan bagi menerima vaksin pada fasa ketiga nanti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Azlan menjelaskan sehingga kini tiada dalam kalangan guru yang berdaftar dengan Pematap atau warga tahfiz yang bertindak menghasut orang ramai untuk menolak pemberian vaksin.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 91 buah maahad tahfiz di negeri ini yang berdaftar dengan Pematap.