RM10,000 menanti DUN dengan peratus daftar vaksin tertinggi

Rosol
Rosol
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebanyak RM10,000 bakal diterima satu daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Hulu Terengganu yang berjaya mencapai peratusan pendaftaran vaksin Covid-19 tertinggi.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata inisiatif itu bagi memberi galakan kepada penduduk untuk segera mendaftar bagi menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jelasnya, mana-mana DUN yang berjaya mencapai peratusan tertinggi pendaftaran vaksin Covid-19 dalam tempoh tiga bulan bermula sekarang akan dihadiahkan wang tunai RM10,000.

“Saya memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk mana-mana DUN di Hulu Terengganu ini yang tertinggi, ertinya DUN akan bertanding sesama mereka.

“Saya sudah maklum pada pengarah tanah untuk mengambil perjalanan agar kita hendak pastikan rakyat semuanya divaksin.

"RM10,000 tertinggi bergantung pada peratus, bukan bilangan peratus DUN tersebut,” katanya.

Parlimen Hulu Terengganu mempunyai empat kawasan DUN iaitu Kuala Berang, Telemong, Ajil dan Manir.

Rosol berkata, di samping menggalakkan rakyat segera mendaftar untuk vaksinasi, ia juga satu langkah bagi memastikan sasaran imuniti kelompok berjaya dicapai dalam tempoh ditetapkan, sekali gus memulihkan negara daripada pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dilaporkan lebih 10,000 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 di Terengganu didapati gagal menghadiri sesi janji temu vaksinasi.

Rata-rata penerima daripada golongan warga emas memberi alasan terlupa tarikh janji temu dan tiada kenderaan ke pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan. - Awani