Amalan tadbir urus yang akan merosakkan Mara

Didapati lebih separuh wakil Mara Corp dengan nama sama dilantik menjadi pengarah.
Didapati lebih separuh wakil Mara Corp dengan nama sama dilantik menjadi pengarah.
A
A
A

SETELAH didedahkan mengenai penguasaan ahli politik tertentu di dalam hampir keseluruhan anak syarikat Mara, Sinar Harian juga dimaklumkan oleh bekas kakitangan pengurusan kanan Mara berkenaan amalan tadbir urus korporat yang tidak baik dalam anak-anak syarikat agensi kerajaan itu yang boleh menjurus kepada salah guna kuasa akibat ketiadaan amalan semak dan imbang yang berkesan.

“Hampir keseluruhan anak syarikat di bawah Mara Corporation dan juga beberapa anak syarikat milik penuh Mara kini hanya mempunyai seorang ahli lembaga bebas untuk menasihati syarikat.

“Bagaimana ahli lembaga bebas ini dapat menjalankan tanggungjawabnya jika setiap pandangan dan tegurannya tidak akan diambil kira oleh ahli lembaga bukan bebas lebih-lebih lagi dalam melaksanakan arahan dari ‘pihak atas’ yang mungkin boleh menjejaskan syarikat?

“Buku Panduan Tadbir Urus Korporat Syarikat Mara yang menerima pakai Malaysian Code of Corporate Governance (MCCG) secara jelas menetapkan komposisi pengarah bebas di dalam syarikat perlu sekurang-kurangnya 1/3 daripada keseluruhan ahli lembaga, manakala MCCG pula menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengarah Bebas,” ujar sumber tersebut.

Ketetapan itu ada sebabnya iaitu untuk tujuan semak dan imbang dalam perjalanan syarikat di samping mendapat input berharga daripada ahli profesional dan industri yang dilantik.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang politik didakwa kuasai Mara

Jika diikutkan garis panduan yang ditetapkan MCCG, tiada lantikan sepatutnya dalam kalangan ahli politik aktif dalam syarikat tetapi ini agak sukar dilaksanakan di Mara kerana semuanya adalah syarikat berkaitan kerajaan.

Tetapi keputusan melantik Datuk Suhaili Abdul Rahman sebagai Pengarah Eksekutif di dalam Mara Corp adalah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana beliau pada masa sama adalah juga seorang ahli politik yang aktif di peringkat bahagian.

Artikel Berkaitan:

Secara jelas di dalam mana-mana buku tadbir urus korporat ada menekankan lembaga pengarah tidak terlibat di dalam urusan operasi syarikat, kini dilantik pula pemimpin politik dalam lembaga dan juga pengurusan syarikat.

Sementara itu hasil carian Sinar Harian turut mendapati komposisi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat milik penuh Mara Corp adalah sepertimana berikut:

1. Asia Aerotechnic Sdn Bhd

Bidang: Senggaraan dan baik pulih kapal terbang.

Ahli Lembaga Bebas (1), Ahli Lembaga Bukan Bebas (5 termasuk 3 daripada Mara Corp).

2. Glocal Link (M) Sdn Bhd

Bidang: Trading dan perkhidmatan.

Ahli Lembaga Bebas (0), Ahli Lembaga Bukan Bebas (7 termasuk 3 dari Mara Corp).

3. Harta Prima Realities Sdn Bhd

Bidang: Pembinaan dan senggaraan bangunan.

Ahli Lembaga Bebas (1), Ahli Lembaga Bukan Bebas (4 termasuk 3 dari Mara Corp).

4. Mara Incorporated Sdn Bhd

Bidang: Pelaburan Hartanah.

Ahli Lembaga Bebas (1), Ahli Lembaga Bukan Bebas (6 termasuk 3 dari Mara Corp).

5. Pelaburan Mara Berhad

Bidang: Pelaburan Kewangan.

Ahli Lembaga Bebas (1), Ahli Lembaga Bukan Bebas (6 termasuk 4 dari Mara Corp).

(Nota: Ahli Lembaga Bukan Bebas: wakil Kementerian, Mara dan pemimpin politik dari Parti Bersatu)

Pemerhatian Sinar Harian juga mendapati bilangan sebegitu besar iaitu hampir atau melebihi separuh wakil Mara Corp dalam lima syarikat ini dengan nama-nama yang sama yang dilantik menjadi pengarah iaitu Suhaili Abdul Rahman (3), Megat Shahriman Zaharudin (3), Iskandar Zainudin (3), Mohd Hisham Mohamed (2), Norsyahrin Hamidon (2), Tan Sri Azman Shah Haron (2) dan Rizal Abdul Ghani (2).

Ini tidak termasuk penglibatan mereka dalam lain-lain anak syarikat Mara dan Mara Corp. Jadi timbul persoalan apakah pengalaman dan latar belakang mereka terutamanya Suhaili dan Megat yang masing-masing dilantik menjadi ahli lembaga dalam lapan atau tujuh anak syarikat Mara.

Adakah mereka mempunyai masa dan pengalaman untuk mengemudi syarikat-syarikat dalam bidang yang begitu pelbagai – dari aeroangkasa, pelaburan, hartanah, trading, perkhidmatan, pengangkutan, pembuatan, kewangan dan juga pendidikan?

MCCG juga menggariskan berkenaan ciri dan syarat pelantikan lembaga pengarah yang diadaptasi oleh kebanyakan agensi dan syarikat termasuk Mara seperti kelayakan akademik, pengalaman dan kepakaran di samping sifat-sifat kepimpinan, integriti dan profesionalisme calon termasuk semakan kes jenayah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan insolvensi.

Adakah saringan ini telah dibuat sepenuhnya oleh Majlis Mara sebagai badan berkuasa yang melantik ahli-ahli lembaga tersebut?

Jadi rasanya adalah menjadi tanggungjawab Majlis Mara untuk membuat tapisannya sendiri bagi memastikan individu yang benar-benar berkelayakan dengan nilai integriti yang tinggi dan tanpa rekod silam yang mencurigakan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Masa depan orang Melayu kini berada di dalam tangan ahli-ahli Majlis Mara untuk membuat keputusan yang tepat.

“Memang lantikan politik tidak dapat dielakkan dalam anak-anak syarikat Mara. Tetapi apa yang ingin kita lihat ialah lantikan politik itu mestilah kepada orang yang betul-betul berkelayakan kerana ia akan membantu memimpin perkembangan syarikat,” ujar seorang bekas ahli Parlimen.