'Perginya Muhammad Afiq, remaja tahfiz luar biasa'

Muhammad Afiq (kiri) adalah Ketua Pelajar Pusat Pendidikan Tahfiz al-Quran & Pengajian Islam as-Sakinah (Madinah).
Muhammad Afiq (kiri) adalah Ketua Pelajar Pusat Pendidikan Tahfiz al-Quran & Pengajian Islam as-Sakinah (Madinah).
A
A
A

RAUB - "Saya tidak sangka gurauan arwah Muhammad Afiq jadi kenyataan kerana dia pernah cakap tidak tahu dapat kembali semula ke pusat tahfiz atau tidak," kata Mudir Pusat Pendidikan Tahfiz al-Quran & Pengajian Islam as-Sakinah (Madinah), Mohd Shahrizan Md Esa.

Mohd Shahrizan berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan Muhammad Afiq Hakimi Kamaruzzaman, 17, ketika arwah pelajarnya itu membantu mengemaskan pusat tahfiz sebelum cuti.

"Arwah bersemangat dan sempat bergurau entah dapat pulang ke sini atau sebaliknya.

"Saya anggap ia satu gurauan dan pernah menawarkan supaya menyambung pengajian di Yarmouk, Jordan tapi arwah tolak dan memilih untuk menghabiskan hafazan al-Quran terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Afiq Hakimi Kamaruzzaman yang telah hafaz 10 juzuk al-Quran selepas memasuki pusat tahfiz itu sejak 2018 meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 1.2 arah selatan di Sri Damansara-Plaza Tol Penchala pada Rabu.

Dia menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11.16 pagi di Hospital Sungai Buloh pada Jumaat.

Mohd Shahrizan (kiri) menyempurnakan majlis pengebumian arwah Muhammad Afiq Hakimi di Tanah Perkuburan Batu Muda, Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohd Shahrizan (kiri) menyempurnakan majlis pengebumian arwah Muhammad Afiq Hakimi di Tanah Perkuburan Batu Muda, Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Arwah Muhammad Afiq yang juga ketua pelajar di pusat tahfiz yang terletak di Kampung Ulu Jeruas, Mukim Sega di sini dikenali pelbagai pihak kerana aktif membantu pelbagai kerja amal khususnya di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Kisah anak bongsu dari lima beradik yang juga anak yatim itu tular di Facebook dan mendapat perhatian banyak pihak.

Malah pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dan Asma' Harun turut memuat naik status mengenai remaja berkenaan di Facebook masing-masing pada Jumaat.

Mohd Shahrizan memberitahu, arwah pelajarnya itu melakukan kerja sambilan perkhidmatan penghantaran selepas pusat tahfiz itu ditutup kerana pandemik Covid-19 sejak 23 Mei lalu.

"Arwah yang berasal dari Sentul, Kuala Lumpur adalah pelajar yang sangat dedikasi, tegas tetapi mesra melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai ketua pelajar.

"Apabila berita kehilangannya diketahui, semua pelajar bersedih mengenangkan ketrampilan peribadinya selain menjadi remaja yang serba boleh," katanya.

Tambahnya, selain aktiviti dakwah, arwah turut aktif dengan khidmat sosial termasuk berbakat dalam bidang nasyid selaku vokalis utama dan amal termasuk sebagai sukarelawan Misi Bantuan Banjir Besar yang melanda Pahang baru-baru ini melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Madinah Prihatin.

Muhammad Afiq Hakimi aktif dalam aktiviti khidmat sosial dan amal membantu masyarakat khususnya di Raub.
Muhammad Afiq Hakimi aktif dalam aktiviti khidmat sosial dan amal membantu masyarakat khususnya di Raub.

"Pengalaman luar biasa bersama figura-figura besar seperti Ustazah Asma' Harun (Penaung Sahabat Amal Care), Ustaz Ahmad Dasuki Ab Rani (NGO Geng Ustaz), Dr Rosni Adam (Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Pusat) serta puluhan NGO Islam yang lain dalam menjalankan misi kemanusiaan banjir di Raub menjadi sebutan para petugas sukarelawan kerana pada usia 17 tahun, arwah cekap dan matang melaksanakan tugasan besar.

"Saya amat terasa dengan kehilangan arwah yang disifatkan satu kehilangan besar buat pusat tahfiz ini dan semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta di tempatkan di syurga bersama para solehin," katanya.

Mohd Shahrizan memimpin solat jenazah arwah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Jannah, Tanah Perkuburan Batu Muda selepas solat Asar pada Jumaat.