Ranhill eksport tenaga ke selatan Thailand

RANHILL Holdings Bhd
RANHILL Holdings Bhd
A
A
A

RANHILL Holdings Bhd (Ranhill) dan Treasure Specialty Company Ltd (TS Co) yang berpangkalan di Thailand akan membangunkan secara bersama loji tenaga turbin gas kitaran bergabung 1,150 megawatt di Kedah untuk mengeksport tenaga ke selatan Thailand.

Apabila siap, loji tenaga itu dijangka menghantar 100 peratus daripada kapasiti penjanaannya melalui talian penghantaran khusus ke pencawang di selatan Thailand, menurut Ranhill yang menandatangani perjanjian kerjasama dengan TS Co di Kuala Lumpur, hari ini.

“Kami menjangka cadangan projek loji tenaga itu akan meningkatkan pendapatan kumpulan dalam jangka masa panjang selain mempelbagaikan portfolio tenaga kami di peringkat serantau, manakala pelaburan kami akan menyumbang kepada mewujudkan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di utara Kedah,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill Group Tan Sri Hamdan Mohamad.

Katanya pembekalan tenaga tambahan ke Songkhla, Satun, Pattani, Yala dan Narathiwat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan wilayah ini di selatan Thailand.

Hamdan berkata menyediakan tenaga yang bersih dari segi alam sekitar dan menjimatkan kos akan membantu menangani kekurangan tenaga di beberapa bahagian di selatan Thailand yang akan menjadi peluang kepada kumpulan.

“Langkah itu bukan sahaja membolehkan kami meningkatkan perniagaan penjanaan tenaga domestik kami tetapi akan turut membawa kami di luar aktiviti pemulih gunaan air dan air sisa sedia ada kami di negara ini,” katanya.

Ranhill berkata projek itu dirancang menggunakan loji Turbin Gas Kitaran Bergabung (CCGT) gas infrastruktur sedia ada yang akan melibatkan pembelian LNG daripada Petronas sebelum menukarnya kepada gas asli di loji regasifikasi Melaka.

Ia kemudian akan dihantar melalui rangkaian Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) ke loji tenaga sebelum elektrik dibekalkan ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

Penilaian dan perbincangan mengenai projek itu sedang dijalankan berikutan ia masih tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia dan Thailand, menurut kumpulan itu. - Bernama