'Saya lebih rela salur kos pampasan moratorium pukal untuk bantu rakyat'

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan kerajaan bakal menanggung kos pampasan tidak diperlukan sama sekali kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan kepada semua peminjam bank.

Jelas beliau, Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sememangnya memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih dan menggembleng apa jua sumber diperlukan untuk kepentingan negara.

Namun, Tengku Zafrul menjelaskan, Seksyen 5 ordinan sama juga menyatakan jika kerajaan menggunakan kuasa itu, pampasan harus diberikan kepada pihak yang memiliki sumber tersebut iaitu institusi perbankan.

"Dalam erti kata lain, masih ada kos yang akan ditanggung kerajaan (sekiranya peruntukan Seksyen 5 Ordinan Darurat digunakan bagi melaksanakan moratorium pukal).

"Sekalipun kita boleh melakukan sesuatu, ia tidak bermaksud kita wajar melakukannya.

"Memaksa pihak bank melakukan moratorium secara pukal pada waktu ini bermakna kerajaan mungkin akan menanggung kos pampasan untuk sesuatu yang jelas tidak diperlukan sama sekali.

"Saya lebih rela menyalurkan sumber ini (kos pampasan bank bagi melaksanakan moratorium pukal) untuk membantu rakyat dan perniagaan yang lebih memerlukannya," katanya menerusi satu catatan kolum eksklusif beliau di Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama

Terdahulu, beberapa pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan melaksanakan kembali pemberian moratorium automatik kepada semua peminjam bank bagi meredakan keresahan rakyat ekoran pelaksanaan sekatan penuh pergerakan sejak 1 Jun lalu.

Jelas Najib, tuntutan itu wajar memandangkan kerajaan boleh menggunakan ordinan darurat bagi memaksa institusi perbankan melaksanakannya di samping status kewangan kebanyakan bank yang mencatatkan keuntungan bersih sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut meluahkan kekecewaan ekoran kenyataan 'Kerajaan tidak boleh memaksa bank untuk memberi moratorium pukal' diucapkan beliau telah dipetik segelintir pihak tidak bertanggungjawab secara luar konteks.

Bagaimanapun, beliau bersedia menjelaskan konteks sebenar kenyataan itu mengikut Akta Bank Pusat Malaysia 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk menjernihkan kefahaman semua pihak.

Jelasnya, berdasarkan dua akta disebutnya itu, Tengku Zafrul tidak mempunyai kuasa mengarahkan bank untuk memberikan moratorium automatik.

"Tambahan pula, di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, sebarang rang undang-undang baharu perlu mendapat kelulusan kabinet sebelum diangkat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Jangan guna belantan hanya untuk memukul nyamuk di badan

Moratorium pukal agenda populis berdasarkan pertimbangan sempit

80 peratus peminjam tidak perlu moratorium pukal: Menteri Kewangan