X

Kindly register in order to view this article
!

Berapa elaun wakil rakyat kita?

Malaysia mempunyai 600 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini yang mana Sarawak merupakan negeri paling banyak memiliki wakil rakyat bagi kerusi tersebut iaitu 82 orang.
A
A

[INFOGRAFIK] Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan bersetuju memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat DUN Rantau.

Tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk membantu masyarakat di kawasan itu yang terkesan akibat sekatan pergerakan penuh fasa pertama susulan penularan Covid-19.

Tindakan Timbalan Presiden UMNO itu mendapat pujian ramai kerana sanggup berkorban demi kelangsungan hidup golongan yang terjejas, terutamanya B40.

Ekoran itu, terdapat segelintir rakyat yang berharap lebih ramai wakil rakyat mengikut jejak langkah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Sekiranya ramai yang berbuat demikian, sudah tentu mereka yang terjejas akibat Covid-19 dapat dibantu dan diringankan bebannya sepanjang sekatan pergerakan penuh selama 14 hari yang bermula pada 1 Jun lepas.

Kesudian Mohamad menyerahkan pendapatan bulanannya untuk membantu rakyat itu bagaimanapun telah menimbulkan satu persoalan, berapa agaknya gaji bulanan beliau dan wakil rakyat lain?

Berdasarkan analisis kandungan laporan akhbar tempatan, gaji wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) direkodkan antara RM6,000 hingga RM15,000 sebulan.

Sarawak mencatatkan gaji bulanan tertinggi iaitu RM15,000, diikuti Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing RM11,500 serta Kedah, Terengganu dan Pahang, masing-masing RM11,000.

Manakala Perak dan Perlis masing-masing mencatatkan gaji wakil rakyat terendah iaitu sebanyak RM6,000 sebulan.

Jumlah terkini gaji wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu majoritinya diperoleh berdasarkan kenaikan terkini pada 2013 kecuali Johor, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Pahang (2015) manakala Negeri Sembilan dan Sabah (2014).

Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana Sarawak merupakan negeri paling banyak memiliki wakil rakyat bagi kerusi tersebut iaitu 82 orang.

Negeri kedua yang mempunyai wakil rakyat teramai pula ialah Sabah iaitu 73, diikuti oleh Perak (59) serta Johor dan Selangor masing-masing 56.

Bayangkan, sekiranya 10 wakil rakyat daripada negeri yang mempunyai wakil rakyat bergaji tinggi seperti Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah menyumbang gaji mereka, sudah tentu lebih RM100,000 dapat dikumpulkan pada setiap bulan.

Jumlah tersebut sudah tentu dapat membeli makanan asas yang boleh diberikan kepada kira-kira 200-300 keluarga terjejas, terutamanya mereka yang kehilangan kerja.

Bagaimanapun, kita tidak boleh memaksa wakil rakyat tersebut berbuat demikian kerana mereka juga ada tanggungan dan komitmen bulanan masing-masing.

Tapi, sekiranya mereka berbesar hati mencontohi sikap ADUN Rantau itu, sudah tentu kesudian mereka dialu-alukan oleh rakyat.

Selain Mohamad, beberapa pemimpin utama negeri di Malaysia juga melakukan hal yang sama iaitu menyumbangkan pendapatan bulanan mereka untuk membantu rakyat.

Setakat semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah bersetuju menyumbangkan tiga bulan gajinya ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor.

Inisiatif tersebut turut disertai oleh 10 Exco negeri itu selepas perkara berkenaan diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengadakan mesyuarat mingguan pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad bersama 10 Exco negeri berkenaan turut melakukan hal sama dengan menyumbangkan tiga bulan gaji mereka ke dalam Tabung Bencana Covid-19.

Di Pulau Pinang, seramai 29 Ahli ADUN daripada semua parti di negeri itu bersetuju menyumbangkan sebanyak 30 peratus gaji bulan ini kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Sementara Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang pula akan menyumbang sebulan gaji bermula bulan ini untuk tabung berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gaji semua menteri dan timbalannya akan dipotong selama tiga bulan bermula Jun untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!