Polis cari individu rosakkan kawad duri, batu sempadan

Mohamad Mat Yusop
Mohamad Mat Yusop
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang mengesan individu yang memecahkan batu serta merosakkan kawat duri penghalang sempadan antara Negeri Sembilan dan Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, tindakan itu merupakan kali kedua berlaku di lokasi berhampiran Nilai dan Bukit Mahkota.

"Kita dapat maklumat mengatakan tempat tersebut dipecahkan. Pada kali pertama kita buat tangkapan dan keluarkan kompaun kepada individu terlibat.

"Tetapi kali ini, kita tidak dapat kenalpasti siapa orangnya sama ada pekerja-pekerja di kawasan itu atau orang awam. Kita sedang kesan," katanya selepas sesi wawancara bersama NEGERIfm di Seremban, pada Khamis.

Tambahnya, lokasi berkenaan merupakan laluan utama bagi pekerja dari Selangor untuk bekerja di kawasan berhampiran industri di Nilai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu sejak Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan pada 1 Jun lalu, pihaknya melaksanakan sebanyak 2,875 pemeriksaan melibatkan 193 pasukan pemantauan.

Mengulas lanjut katanya, sehingga Rabu, sebanyak 74 kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) terutama di pasar raya, padang awam dan lokasi tumpuan awam.

Artikel Berkaitan: