Peniaga ayam bakar tidak mengaku subahat kes rasuah

Mohd Nizam dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis.
Mohd Nizam dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga ayam bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan bersubahat memberikan rasuah kepada pegawai polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap rakannya yang memiliki dadah, minggu lalu.

Mohd Nizam Mohamed Lazim, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa sambilan didakwa bersubahat dengan rakannya berusia 39 tahun untuk memberi suapan sebanyak RM120,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang kepada rakannya itu kerana memiliki dadah jenis syabu.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Mahagoni di sini pada jam 9 malam, 24 Mei lalu.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan agar tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 kerana mengambil kira keseriusan kes dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon agar ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Dia juga menjaga dua anak saudaranya yang kini yatim piatu selain mempunyai pendapatan tidak tetap antara RM5,000 hingga RM6,000," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai sebutan semula kes.