Polis Kedah keluarkan 76 kompaun

Mohd Roze (kanan) sedang memeriksa dokumen yang dibawa oleh seorang pemandu yang melalui SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada Rabu.
Mohd Roze (kanan) sedang memeriksa dokumen yang dibawa oleh seorang pemandu yang melalui SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengeluarkan 76 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua hari pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa 1 bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas tanpa kompromi berikutan pelaksanaan 'total lockdown' itu dan kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Walau bagaimanapun katanya, antara kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

“Jika kita lihat, jumlah kompaun yang dikeluarkan di Kedah pada 31 Mei lalu ialah sebanyak 21 kompaun manakala pada 1 Jun, 55 kompaun telah dikeluarkan.

"Jadi kita berharap masyarakat mematuhi SOP yang dikeluarkan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak 45 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan dengan kekuatan 878 pegawai dan anggota bertugas.

Selain itu, Mohd Roze berkata, pihaknya juga menggerakkan 230 pasukan pemantauan bagi memastikan rakyat Kedah mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Pemantauan ini termasuk di pejabat kerajaan dan swasta selain di rumah-rumah ibadat terutamanya pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu di masjid hanya dibenarkan kehadiran jawatankuasa sahaja jadi pemantaun akan dilakukan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku.

"Bagaimanapun, setakat ini, tiada kes berkumpul secara ramai yang melibatkan aktiviti keagamaan di Kedah dan kita tidak mahu perkara yang berlaku di negeri lain berlaku di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Roze berkata, jumlah kenderaan yang keluar masuk di Kedah juga dilihat berkurangan selepas pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan bermula Selasa.

“Jumlah kenderaan yang keluar masuk di Kedah pada 31 Mei lalu ialah sebanyak 52,680 manakala semalam, jumlah itu telah menurun kepada 34,300 dan ini menunjukkan pengurangan sebanyak 18,380 kenderaan," katanya.