Harimau dahan ditemui tercekik belakang rumah penduduk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seekor harimau dahan jantan yang dipercayai tercekik sesuatu ditemukan di belakang rumah seorang penduduk Kampung Bukit Bertam, dekat Selama, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada 10.50 pagi dan berjaya menangkap harimau dianggarkan berusia antara tujuh dan lapan tahun itu kira-kira setengah jam kemudian.

“Haiwan itu berkemungkinan keluar dari Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran dengan kampung berkenaan untuk mencari makanan,” katanya yang dihubungi Bernama pada Rabu.

Yusoff berkata, haiwan itu yang seakan-akan tercekik dan dilihat cuba memuntahkan sesuatu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di Sungkai untuk rawatan.

Beliau berkata, kali terakhir pihaknya menerima aduan mengenai penemuan harimau dahan adalah di Kampung Baru Ulu Kerian yang dipercayai keluar dari hutan sama pada 8 April lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: