Kereta api bawa 50 penumpang terbakar

Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan bahagian kepala kereta api yang dalam perjalanan ke Johor Bahru.
Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan bahagian kepala kereta api yang dalam perjalanan ke Johor Bahru.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Enjin lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa penumpang dari Tampin, Negeri Sembilan ke Johor Bahru terbakar di Stesen KTMB Renggam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.46 malam itu, kereta api empat gerabak yang membawa 50 penumpang dan empat krew tersebut terbakar dan musnah di bahagian kepala termasuk enjin.

"Siasatan awal mendapati, kereta api ini bertolak dari Tampin jam 2.50 petang semalam dan difahamkan bahagian enjinnya terbakar di landasan kereta api di Kilometer 686 berhampiran Kampung Cina Sungai Sayong.

"Selepas api berjaya dipadamkan, pemandu kereta api yang berumur 59 tahun meneruskan perjalanan dan berhenti di Stesen KTMB Renggam sebelum bahagian enjin kereta api tersebut terbakar semula dan Balai Bomba Renggam dimaklumkan berhubung kejadian," katanya.

Menurutnya, semakan dengan Pusat Kawalan Daerah (PKD) Kluang juga mendapati ada dua panggilan melalui talian MERS999 mengenai kejadian tersebut sebelum membatalkan panggilan tersebut kerana tindakan diambil bomba.

"Semakan dengan Ketua Polis Balai (KPB) Renggam juga dibuat dan didapati sehingga jam 10.40 pagi semalam tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian dan KPB Renggam diarahkan menghubungi KTMB Stesen Renggam untuk hadir membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke Stesen KTMB Renggam selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 malam.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.10 malam dan tiada penumpang atau pemandu lokomotif dilaporkan cedera dalam insiden terbabit kecuali perkhidmatannya yang tergendala seketika sebelum semuanya dalam keadaan terkawal sejam kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pantas diambil dengan memutuskan lokomotif yang sedang terbakar itu dengan gerabak lain. Ia menyebabkan api tidak dapat merebak ke kawasan lain. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.