JKM jamin bantuan makanan mencukupi

Laporan berita mengenai penduduk yang berdepan kesulitan bantuan makanan.
Laporan berita mengenai penduduk yang berdepan kesulitan bantuan makanan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan bantuan makanan mencukupi bagi menampung keperluan 7,000 penduduk di Block C Dan D Pangsapuri Sri Penara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata, semua agensi turut bekerjasama untuk memastikan penduduk tidak berdepan kesulitan mendapatkan bantuan makanan sepanjang tempoh dua minggu PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu sejak 28 Mei lalu.

"Saya menghantar laporan harian kepada Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan juga membentangkannya dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

"Sebarang masalah atau isu berbangkit kita (JKM) menyelesaikannya secara dalaman untuk memastikan mangsa tidak berdepan sebarang masalah serius," katanya pada sidang media di subtek PKPD Pangsapuri Sri Penara di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN Hanya dua tin sardin buat penduduk PKPD Pangsapuri Sri Penara

Che Samsuzuki berkata, Annuar turut menyarankan agar lebih banyak sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu meringankan beban kerajaan dalam membekalkan bekalan makanan kepada penduduk.

"Kita mengalu-alukan NGO memberi bantuan bekalan makanan serta keperluan asas untuk penduduk di sini, namun ia perlu diagihkan mengikut prosedur operasi standard yang sedia ada dan ditetapkan menerusi JKM dengan kerjasama polis serta persatuan penduduk di kawasan perumahan itu," katanya.

Che Samsuzuki (dua dari kiri) bersama Mohamed Mokhsein melihat persiapan barangan bantuan makanan dan keperluan asas yang akan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.
Che Samsuzuki (dua dari kiri) bersama Mohamed Mokhsein melihat persiapan barangan bantuan makanan dan keperluan asas yang akan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

Beliau berharap penduduk yang sedang menjalani PKPD bersabar dan menyalurkan sebarang permasalahan melalui saluran yang betul bagi memudahkan JKM bertindak pantas mengenalpasti masalah serta mencari jalan untuk menanganinya.

Artikel Berkaitan:

"Kita bertugas 24 jam sehari di lokasi, kita selesaikan masalah yang dibangkitkan penduduk di sini dengan segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan 'medical base' untuk penduduk di kawasan tersebut.

"Penduduk yang memerlukan rawatan boleh mendapatkan khidmat kakitangan KKM di 'medical base' itu, kecuali pesakit serius akan di hantar segera ke hospital seperti pesakit dialisis di hantar ke Hospital Ampang untuk rawatan," katanya.

Mohamed Mokhsein berkata, seramai 100 penduduk menjalani saringan Covid-19 pada Rabu.

"Persatuan penduduk di kawasan ini juga menjalankan tugas dengan menyalurkan maklumat serta hebahan untuk penduduk yang dipilih bagi menjalani saringan Covid-19," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan PKPD di Blok C dan D Pangsapuri Sri Penara, Cheras, di sini, bermula 28 Mei hingga 10 Jun, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.