X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Bursa Malaysia akhiri sesi dagangan pagi lebih positif

A
A

URUS niaga di Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih positif seiring dengan harga-harga saham Asia yang lain, dirangsang oleh aktiviti kilang yang semakin baik di negara-negara seperti China.

Prestasi di bursa tempatan turut didorong oleh keputusan dicapai oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan bukan OPEC yang bersetuju untuk secara beransur-ansur mengurangkan pengeluaran di tengah jangkaan permintaan minyak mentah yang lebih tinggi.

Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.58 mata atau 0.54 peratus kepada 1,594.48 daripada 1,585.90 ketika ditutup pada urus niaga petang Selasa.

Indeks utama dibuka 0.43 mata lebih rendah pada 1,585.47 - paras terendah setakat hari ini -- sebelum meningkat kepada setinggi 1,596.08 sepanjang sesi urus niaga pagi.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 637 berbalas 344 manakala 392 kaunter tidak berubah, 761 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 4.20 bilion unit bernilai RM2.16 bilion.

Menurut Rakuten Trade Sdn. Bhd., trend menaik semalam dijangka berterusan ke hari ini berdasarkan kepercayaan bahawa dana asing akan memasuki Asia.

"Kami maklum yang dana asing adalah pembeli bersih semalam dan menjangkakan indeks meningkat dalam julat antara 1,585-1,595 hari ini," katanya dalam satu nota hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga berkata, data kilang yang memberangsangkan di China dilihat dapat menyokong permintaan luaran Malaysia dan mengatasi sebarang kelemahan dari sudut permintaan dalam negeri.

"Kami mengunjurkan momentum semasa akan bertahan selama seminggu urus niaga ini dengan syarat dos vaksinasi harian dapat kekal melepasi 90,000 sehari," katanya kepada Bernama.

Aktiviti kilang di China agak perlahan pada bulan Mei berbanding bulan sebelumnya kerana permintaan eksport yang lebih lemah dan harga komoditi yang tinggi.

Namun begitu, sektor bukan pembuatan negara itu disokong oleh perbelanjaan pembinaan dan percutian yang lebih kukuh.

Hampir semua 30 saham berwajaran tinggi berkaitan indeks diniagakan lebih tinggi pada sesi dagangan tengah hari.

Axiata dan RHB yang akan mengumumkan kerjasama mereka dalam waktu terdekat ini, menyaksikan saham mereka meningkat, masing-masing sembilan sen kepada RM3.81 dan 14 sen kepada RM5.44.

CIMB menambah tujuh sen kepada RM4.52 dan Digi.Com meningkat enam sen pada RM4.29.

Saham paling untung, F&N meningkat lapan sen kepada RM27, Hong Leong Industries naik 43 sen kepada RM10.32 dan Dutch Lady lebih tinggi 40 sen kepada RM34.50.

Bagi saham cergas pula, Serba Dinamik naik tiga sen kepada 86.5 sen dan Vortex meningkat satu sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 81.66 mata kepada 11,597.57 dan Indeks FBMT 100 meningkat 73.96 mata kepada 11,292.08.

Indeks FBM Emas Syariah pula naik 76.35 mata kepada 12,829.03, FBM 70 mengukuh 149.36 mata kepada 14,949.33 dan FBM ACE untung 1.96 mata kepada 7,719.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 120.74 mata kepada 15,205.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.65 mata kepada 192.90 dan Indeks Perladangan 10.51 mata lebih baik pada 6,842.44. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!