Terima kasih penjawat awam: PM

Tangkap layar hantaran di Facebook Muhyiddin pada Rabu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Muhyiddin pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada penjawat awam berhubung sumbangan kewangan yang diberikan mereka bagi membantu negara menangani pandemik Covid-19.

Menurutnya, sumbangan melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) itu merupakan satu bentuk solidariti yang mencerminkan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

Katanya, langkah tersebut juga adalah bukti yang menunjukkan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan untuk menangani penularan Covid-19 di negara ini.

“Solidariti ini adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para 'frontliners' yang berusaha tanpa henti membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik Covid-19.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik Covid-19 ini.

“Saya doakan semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi Covid-19 ini akan terus diberkati ALLAH.

Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. InsyaALLAH,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan penjawat awam akan menyumbangkan sebahagian daripada elaun mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana Covid-19 bagi membantu negara menangani wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inisiatif tersebut melibatkan penjawat awam yang terdiri daripada pengurusan tertinggi, Gred 44 hingga 46 dan Gred 29 hingga 41.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam sumbang sebahagian gaji bantu perangi Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbangan imbuhan tetap penjawat awam perlu dibuat sukarela