Rugi lebih RM223,000 terperdaya iklan kereta murah

Seorang lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM223,000 terpedaya iklan kereta murah- Foto 123RF
Seorang lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM223,000 terpedaya iklan kereta murah- Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Gara-gara terperdaya dengan iklan jualan kereta terpakai murah di Facebook, seorang lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM223,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 48 tahun tertarik dengan iklan jualan kereta Honda Civic 1.5 tahun 2016 dari Singapura yang ditawarkan dengan harga RM17,800.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor talian tertera dan berhubung dengan seorang wanita yang mendakwa menguruskan pembelian kenderaan itu.

"Mangsa diminta membuat transaksi wang ke akaun yang diberikan termasuk membuat pembayaran lesen import (AP) dan Kastam sebagai ‘covering’ sejak Mac lalu.

"Bermula 13 April hingga 19 Mei lalu, mangsa telah membuat sebanyak 59 transaksi pindahan wang berjumlah RM223,220 secara dalam talian ke 15 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek. Bagaimanapun, sehingga kini kereta berkenaan tidak diperoleh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, disebabkan curiga dan berasa tertipu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kandang di sini.

"Mangsa juga mengakui membuat pembayaran menggunakan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga serta rakan-rakan," katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati salah satu nombor akaun yang digunakan suspek didapati berkait dengan sembilan laporan polis menggunakan modus operandi sama.

Artikel Berkaitan:

"Polis menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati. Orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.