'SOP mengelirukan, jangan keluarkan saman lagi'

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hannah Yeoh)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hannah Yeoh)
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menegaskan saman tidak wajar dikenakan semasa pelaksanaan 'total lockdown' pada peringkat awal ini kerana arahan prosedur operasi standard (SOP) terbaru yang merumitkan dan memeningkan rakyat.

Tegasnya, arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas memberi kesulitan dan mengelirukan buat orang ramai termasuk pemain industri.

"Kalau arahan dan proses yang diberikan oleh kerajaan itu jelas dan rakyat tak patuhi, ada kewajaran untuk menyaman. Namun, dalam kes sekarang, arahan kerajaan tidak jelas dan diberikan pada saat akhir.

"Pejabat saya terima panggilan banyak sektor yang keliru tentang apa dan bagaimana yang harus dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

MKN pada satu kenyataan berkata, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kepada permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan untuk bekerja dalam tempoh 'total lockdown' selama 14 hari bermula Selasa boleh mendapat pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal.

Sebelum itu, semua sektor perlu meminta izin daripada kementerian berkaitan sektor masing-masing yang bertindak sebagai pengawal selia izin PKP penuh.

"Sepatutnya jika tiada masalah, jangan tukar arahan itu. Kalau nak tukar sekalipun, kementerian lain mesti bersedia agar tidak wujud masalah seperti laman sesawang MITI tidak boleh dibuka," tegas Hanna.

Hannah yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mahu bantuan kewangan juga harus diberikan kepada semua yang terjejas tanpa ada pengecualian.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak buat 'total lockdown', mesti ada bantuan kewangan kepada semua yang terjejas tanpa pengecualian," katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kerajaan perlu belajar daripada kesilapan lalu dengan memperbaiki SOP supaya rakyat tidak menjadi mangsa keadaan.

"Kita sudah buat banyak kenyataan dan sidang media sejak PKP 1.0 lagi. Kerajaan seharusnya belajar daripada kesilapan dan perbaiki SOP.

"Contohnya, kerajaan selalu mengulangi kedai makan mesti ditutup pukul lapan malam sedangkan ramai yang bekerja sehingga waktu itu dan tak sempat untuk beli. Penghantar makanan pula bertungkus lumus nak selesaikan 'orders' sebelum jam itu. Jadi ini sangat tidak masuk akal.

"Apa yang berlaku ini seolah-olah Kabinet tidak bermesyuarat untuk bincang. Selaraskan dan dengar pandangan pemegang taruh yang terlibat. Kalau Parlimen buka, wakil rakyat masih boleh persoalkan, debat dan gesa menteri buat penambahbaikan," katanya.