Kelantan lengang hari pertama 'total lockdown'

Laluan utama di depan Pasar Besar Siti Khatijah lengang.
Gambar kanan: Jalan utama di Wisma Persekutuan di Kota Bharu agak sunyi.
Laluan utama di depan Pasar Besar Siti Khatijah lengang. Gambar kanan: Jalan utama di Wisma Persekutuan di Kota Bharu agak sunyi.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Keadaan beberapa jalan ke bandar utama di negeri Kelantan didapati agak lenggang pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' walaupun beberapa sektor dibuka.

Seawal jam 7 pagi, rata-rata kenderaan yang berada di atas jalan raya dilihat dinaiki seorang sahaja sebagaimana yang disarankan pihak kerajaan untuk patuh pada prosedur operasi standard (SOP) 'lockdown' kali ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi utama tumpuan orang ramai di sini juga mendapati tiada masyarakat didakwa berkumpul terutamanya di pasar-pasar basah di negeri ini.

Salah seorang peniaga ikan di Pasar Berek 12, Mohd Yusman Kamaruddin, 42, berkata, jualan ikannya tetap diteruskan seperti biasa dan bekalan juga mencukupi walaupun wujud dakwaan bekalan tidak boleh sampai.

Namun katanya, tiada pembelian panik berlaku memandangkan penduduk sudah mempunyai pengalaman dengan 'lockdown' tahun lalu, selain kali ini banyak sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk kedai makan.

"Sebelum ini, kedai makan semua tutup, jadi mereka akan beli lauk basah setiap hari untuk masak di rumah. Tapi kali ini kedai buka, maka mereka beli apa yang wajib sahaja. Bukan seperti tahun lalu.

"Pelanggan pun kebanyakan yang tetap, yang sudah biasa dengan kami. Mereka akan beli ikut keperluan dan ada juga beli untuk jiran yang kirim dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa di sini.

Artikel Berkaitan:

Peniaga tetap menjaga SOP dengan memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan mereka sanitasi tangan selepas berurusan dengan pelanggan.
Peniaga tetap menjaga SOP dengan memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan mereka sanitasi tangan selepas berurusan dengan pelanggan.

Perkara yang sama diakui peniaga kelapa dan santan, Khairuddin Ismail, 51, yang memberitahu, jualan hariannya biasa sahaja walaupun dalam tempoh 'lockdown' memandangkan pembeli lebih suka beli dalam kuantiti yang sedikit.

Bagaimanapun, menurutnya, dia tetap menjual santan segar walaupun dalam kuantiti sedikit bagi memastikan kualiti tetap terjaga setiap masa.

"Saya jual santan segar, kita tidak akan simpan kalau tidak habis sebab kita jaga kualiti. Sebab itu pelanggan pun suka beli sikit-sikit. Tapi ada juga yang beli banyak sebab mereka tidak mahu kerap keluar bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

'Lockdown' kali ini tidak sebagaimana tahun lepas kerana rakyat kini sudah semakin bijak mengendalikan pengurusan makanan dan keperluan harian mereka walaupun tidak dapat keluar rumah.

Peniaga barangan keperluan dapur, Alia Ayob, 21, pula berkata, rata-rata pelanggannya masing-masing akan menyediakan senarai terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

"Bila saya tanya, mereka kata senarai tersebut bagi memastikan mereka tidak beli perkara yang tidak perlu. Kalau tahun lepas, perkara yang tak perlu pun mereka beli sebab mereka risau putus bekalan dan sebagainya.

"Namun kali ini sudah ada pengalaman, sektor pun banyak yang dibuka, maka tidak terlalu ketat dan menghimpit mereka. Apa yang penting jaga SOP, pakai pelitup muka dan jaga kebersihan diri," katanya.