Segera tubuh badan bebas

Laporan muka hadapan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Hasan Mad
Laporan muka hadapan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Hasan Mad
A
A
A

SHAH ALAM - Satu badan bebas perlu ditubuhkan untuk melantik mana-mana individu untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Profesor Datuk Dr Hasan Mad berkata, reformasi tersebut perlu segera dilakukan agar individu yang dipilih benar-benar layak serta mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi.

Beliau mencadangkan agar badan bebas itu perlu diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan lantikan yang mempunyai kredibiliti tinggi.

Menurutnya, ketiadaan badan tersebut telah menyebabkan ia dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang sesuka hati melantik individu bagi kepentingan politik mahupun peribadi.

“Isunya kini bukan ahli politik, sebab ada sesetengah ahli politik yang bagus dalam mentadbir syarikat GLC dan ada juga yang bukan ahli politik mentadbir dengan tidak bagus.

“Masalahnya kerajaan tiada satu sistem mahupun polisi yang jelas bagi melantik ahli lembaga pengarah GLC.

“Jadi dengan penubuhan badan ini, mana-mana pihak yang ingin mencalonkan individu bagi menerajui GLC akan disemak latar belakang serta rekod calon sebelum dilantik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: GLC perlu ditadbir individu berkelayakan, bukan ahli politik

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkara tersebut pernah dilakukan oleh institusi perbankan negara satu ketika dahulu bagi memilih calon pengerusi bank.

“Pada zaman dahulu, semua orang boleh jadi pengerusi atau ketua pegawai eksekutif bank sekiranya mereka mempunyai saham yang besar dalam bank tersebut.

“Disebabkan perkara tersebut, banyak bank yang cacamarba pengurusannya sehinggalah Bank Negara ketika itu meletakkan syarat agar mana-mana individu yang ingin menjadi pengerusi harus melepasi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, beliau turut menyarankan agar syarikat mewajibkan individu yang baru dilantik menjadi ahli lembaga pengarah agar menjalani kursus induksi sebelum dibenarkan menjalankan tugas.

Ia bagi memastikan individu yang dilantik faham mengenai selok-belok syarikat dan misi yang ingin dibawa seterusnya mampu memajukan lagi syarikat terbabit.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin melaporkan mengenai gesaan supaya amalan lantikan politik dalam GLC dihentikan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, perbuatan itu hanya akan menimbulkan konflik kepentingan yang sekali gus menjadi punca ketidakcekapan tadbir urus korporat.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Letak individu di tempat yang betul’