X

Kindly register in order to view this article
!

Teruskan beri bantuan sara hidup

Kerajaan disaran meneruskan pemberian bantuan sara hidup kepada rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan total lockdown yang bermula hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meneruskan pemberian bantuan sara hidup kepada rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan total lockdown atau penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial yang bermula hari ini.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, bantuan itu perlu diutamakan kerana dianggarkan hampir 9 juta rakyat akan hilang pendapatan dengan pelaksanaan total lockdown berkenaan.

Menurutnya, tanpa bantuan kerajaan, situasi lebih sukar akan dialami rakyat kerana total lockdown itu mungkin dikuatkuasakan lebih lama sehingga enam minggu dan bukan hanya dua minggu.

“Bantuan juga perlu diberi dengan kaedah lebih mudah sebab sebelum ini bantuan yang disalurkan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lambat diterima rakyat.

“Kalau boleh, beri bantuan dalam bentuk setem makanan yang mungkin boleh diambil di pasar raya serta terus berbelanja.

“Inisiatif itu juga bagi memastikan tiada orang yang tiada makanan di atas meja di rumah sepanjang pelaksanaan total lockdown,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dari segi kadar pemberian bantuan pula, katanya, perlu diberikan mengikut tempoh total lockdown berkuat kuasa kerana bantuan kewangan secara one off tidak cukup untuk menampung kos sara hidup rakyat setiap bulan.

Barjoyai
Barjoyai

Beliau berkata, kerajaan juga disyorkan menawarkan program latihan kepada kumpulan isi rumah yang hilang pekerjaan supaya mereka dapat terus menjana pendapatan.

“Latih mereka dengan kemahiran baharu yang diperlukan industri ketika ini kerana selain sebahagian mereka boleh bekerja di sektor itu, sebahagian lagi boleh ceburi perniagaan baharu seperti yang berkaitan pengurusan data, ekonomi gig dan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI).

Dalam pada itu, untuk bantuan jangka masa sederhana kerajaan perlu memberi bantuan dalam bentuk pinjaman kepada lebih 2 juta peniaga mikro yang dijangka akan terjejas.

“Dengan pelaksanaan total lockdown, mereka mungkin kehilangan modal asas jadi bantuan daripada kerajaan memang sangat perlu untuk mereka bangkit semula,” kata beliau.

Sementara itu, pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan mempunyai banyak cara untuk membantu rakyat walaupun menghadapi kekangan kewangan.

“Kalau kerajaan kata tiada duit, sebenarnya masih ada ruang untuk membantu mereka yang terjejas tanpa keluarkan duit kerajaan.

“Contohnya bantuan moratorium pinjaman bank kepada rakyat yang dikenal pasti menghadapi masalah kewangan. Golongan yang mengalami masalah untuk melakukan pembayaran balik dan pernah menghubungi bank boleh diberikan moratorium secara automatik,” katanya.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

Jelasnya, pemberian moratorium itu juga boleh diperluaskan dengan melibatkan beberapa agensi lain seperti utiliti dan sewaan premis bangunan.

Ahmed Razman menambah, kerajaan juga boleh memberikan kredit atau baucar yang boleh ditukar dengan barangan asas atau perkhidmatan.

“Melalui inisiatif ini, rakyat boleh gunakan kredit atau voucher itu di mana-mana syarikat atau kedai yang terlibat. Syarikat atau kedai itu pula boleh kumpulkan kredit atau voucher itu untuk dapatkan rebat cukai pendapatan,” katanya.

Ujarnya, cadangan itu dilihat berupaya menjadi alternatif kepada kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan total lockdown selama dua minggu bermula hari ini hingga 14 Jun untuk mengekang penularan Covid-19 yang ketika ini sudah berada di tahap kritikal.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!