X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Hafizh Syahrin bersyukur sambar tujuh mata

Hafizh Syahrin berjaya menduduki tempat kesembilan GP Itali di Litar Mugello pada Ahad.
A
A

PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaannya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan Grand Prix (GP) Itali pada Ahad yang merupakan kedudukan terbaiknya musim ini, kepada mendiang Jason Dupasquier.

“Ini untuk Jason, yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula,” kata Hafizh menerusi satu video.

Pelumba Moto3 berusia 19 tahun dari Switzerland meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan melibatkan beberapa pelumba ketika sesi kelayakan di Litar Mugello pada Sabtu, seperti diumumkan MotoGP sebelum perlumbaan itu pada Ahad.

Walaupun memulakan perlumbaan dari tempat ke-20, pelumba NTS RW Racing GP itu, melakukan tungganggan cemerlang untuk memintas seorang demi seorang pelumba, untuk berada di tempat kelapan pada pusingan terakhir.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Selangor berusia 26 tahun itu dipintas pelumba pasukan American Racing Dream, Cameron Beaubier di garisan penamat, sekal igus Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan - 34.849 saat di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Remy Gardner yang memenangi perlumbaan dengan catatan masa 39 minit dan 17.667 saat.

Rakan sepasukan Remy, Raul Fernandez (+0.014) di tempat kedua manakala pelumba Sky Racing Team, Marco Bezzecchi (+8.021), ketiga.

Hafizh masih boleh berbangga dengan penambahbaikan motosikalnya, dengan buat kali pertamanya menamatkan perlumbaan dalam kalangan 10 terbaik, sejak menyertai pasukan itu dan membawa pulang tujuh mata.

“Syukur tempat kesembilan, walaupun saat terakhir dipotong Cameron. Laluan lurus agak sukar untuk saya nak dapatkan kelajuan. Saya dah cuba yang terbaik, tetapi banyak kali pelumba lain memotong saya di laluan lurus.

“Saya cuba lawan di ‘breaking’, selekoh untuk pintas...pusingan terakhir itu saya cuba menjarakan diri, tapi laluan lurus itu agak sukar kerana motosikal saya masih kekurangan aerodinamik atau kelajuan. Apapun, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penaja, atas sokongan selama ini,” katanya.

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing, Jake Dixon menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 manakala Xavi Vierge gagal menamatkan perlumbaan.

Darryn Binder pula beraksi cemerlang dalam kelas Moto3 dengan menduduki tempat keempat manakala rakan sepasukannya, John McPcee berada di tempat ketujuh.

Dalam kelas MotoGP, bekas juara dunia Valentino Rossi menduduki tempat ke-10 manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli, menduduki tempat ke-16 untuk Petronas Yamaha Sepang Racing Team. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!