Kastam rampas tulang daging lembu 30 tan

Pegawai penguat kuasa Kastam Ipoh memeriksa kotak yang mengandungi tulang daging lembu dari sebuah kontena yang ditahan di Pelabuhan Barat, Selangor pada 11 Mei lalu.
Pegawai penguat kuasa Kastam Ipoh memeriksa kotak yang mengandungi tulang daging lembu dari sebuah kontena yang ditahan di Pelabuhan Barat, Selangor pada 11 Mei lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Ipoh merampas tulang daging lembu sejuk beku seberat 30 tan bernilai RM500,000 yang dikrar dengan tidak betul pada 11 Mei lalu.

Pengarah Kastam Perak, Dr Mohamad Saprin berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Barat, Selangor oleh pasukan penguat kuasa Kastam Perak.

Menurutnya, daging terbabit dipercayai dibawa masuk oleh syarikat tempatan yang berpangkalan di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor untuk pasaran tempatan.

"Kita mendapati bahawa dagangan tulang daging lembu sejuk beku (frozen beef neck bone) ini telah diikrarkan sebagai sayur campuran sejuk beku (frozen mixed vegetables) dan syarikat ini disyaki telah melakukan pengikraran tidak betul.

"Pihak ejen memaklumkan bahawa pengeksport telah melakukan kesilapan penghantaran dengan tersalah hantar dagangan tidak seperti yang dipesan oleh pengimport.

"Bagaimanapun, siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada tindakan susulan yang diambil oleh pihak syarikat setelah mereka mengetahui bahawa berlakunya kesilapan penghantaran barang dagangan seperti yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an untuk membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu yang terlibat dalam mengimport barang larangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya pula boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM200,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 40 kali ganda nilai barang atau RM1 juta yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau meminta orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran di semua negeri.

Katanya, pihak Kastam memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.