CBP agih wakalah zakat lebih RM500,000

Agihan dana wakalah zakat oleh Co-opbank Pertama (CBP).
Agihan dana wakalah zakat oleh Co-opbank Pertama (CBP).
A
A
A

CO-OPBANK Pertama (CBP) telah mengagihkan dana wakalah zakat berjumlah lebih RM512,000 menerusi Program CBP Mahabbah yang menyasarkan golongan asnaf yang berkelayakan.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, bagi fasa satu, jumlah wang agihan zakat itu merangkumi Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Pahang.

Menurutnya, program itu menyasarkan golongan anak yatim dan ibu tunggal dalam kalangan fakir miskin, institusi masjid serta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kategori asnaf Fisabilillah.

“Agihan zakat ini disampaikan sendiri oleh Anggota Lembaga CBP menerusi majlis serahan zakat yang diadakan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti. Ia dilaksanakan dengan kerjasama daripada pusat zakat negeri dan agensi berkaitan.

“Program agihan ini membuktikan kesungguhan CBP dalam memartabatkan masjid sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan, selain menzahirkan keprihatinan CBP terhadap golongan ibu tunggal, anak yatim serta pelajar IPT.

Pegawai Co-opbank Pertama (CBP) bersama sebahagian daripada penerima dana wakalah zakat.
Pegawai Co-opbank Pertama (CBP) bersama sebahagian daripada penerima dana wakalah zakat.

“Ini merupakan tanggungjawab CBP untuk membantu golongan yang memerlukan dan secara tidak langsung, dapat meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khairil Anuar berkata, selain daripada agihan wakalah zakat, CBP juga terus komited membantu masyarakat menerusi pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan.

Beliau turut berharap agihan sebegini dapat ditingkatkan selepas ini, sekali gus membantu lebih ramai golongan sasar di negeri-negeri lain.