Peminat sukan tanah air setuju Olimpik Tokyo dibatalkan

Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum ini mengatakan bahawa ia akan terus bekerja rapat bagi menjaga keselamatan dan penyertaan kesemua atlit dalam temasya sukan itu.
Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum ini mengatakan bahawa ia akan terus bekerja rapat bagi menjaga keselamatan dan penyertaan kesemua atlit dalam temasya sukan itu.
A
A
A

SEJUMLAH 87 peratus peminat sukan tanah air bersetuju manakala 13 peratus tidak bersetuju Sukan Olimpik Tokyo dibatalkan berikutan situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia pada ketika ini.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap berkata, data berkenaan adalah sehingga 5 petang pada Ahad, hasil kaji selidik yang dijalankan sejak Sabtu lalu.

Menurut Norismadi, kaji selidik itu menyaksikan sebahagian besar peminat sukan tanah air lebih mengutamakan aspek keselamatan atlet terutama pada ketika tuan rumah, Jepun dan dunia sedang berusaha memutuskan rantaian pandemik berkenaan.

“Usaha yang dijalankan oleh SAM ini bertujuan untuk meninjau pendapat peminat sukan negara berkaitan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dalam keadaan Covid-19 semakin mengganas.

“Berdasarkan undian, ternyata sebahagian besar peminat sukan berpendapat Sukan Olimpik kali ini wajar dibatalkan berikutan situasi Covid-19 di negara matahari terbit itu ketika ini.

“Bagaimanapun, sebarang kata putus sama ada temasya sukan berkenaan diteruskan atau sebaliknya terletak pada keputusan Majlis Olimpik Antarabangsa (OIC),” katanya menerusi satu kenyataan media pada Ahad.

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2020 ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos depan berikutan penularan Covid-19.

Sementara itu, Norismadi berkata, kaji selidik berkenaan adalah hasil usaha pihak SAM bagi melihat sejauh mana keprihatinan peminat sukan tanah air berhubung isu penganjuran Sukan Olimpik kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah usaha kecil SAM yang hanya mahu melihat keprihatinan peminat sukan tanah air, namun segala keputusan untuk meneruskan atau tidak Sukan Olimpik kali ini terletak di tangan IOC dan Jepun selaku tuan rumah.

“Bagaimanapun, sekiranya IOC kekal dengan pendirian meneruskan temasya Sukan Olimpik kali ini, negara-negara anggota tidak boleh menarik diri sewenang-wenangnya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Sebelum ini, Malaysia pernah menarik diri daripada Sukan Olimpik 1980 Moscow sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan,” katanya.