'Lari ke mana pun, tetap 'lockdown': Hamzah

Hamzah menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama peringkat KDN di kementerian itu, pada Sabtu.
Hamzah menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama peringkat KDN di kementerian itu, pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbuatan individu yang dipercayai cuba lari atau balik ke kampung menjelang pelaksanaan 'total lockdown' Selasa ini dianggap sebagai tindakan sia-sia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia kerana pelaksanaan 'total lockdown' itu dilakukan seluruh negara.

"Dia lari ke mana pun, tetap 'lockdown'. Jadi sama sahaja. Baiklah (kita) duduk di tempat masing-masing dan ikut prosedur operasi standard (SOP).

"Insya-ALLAH dalam masa dua minggu kalau kita boleh membantu kerajaan untuk turunkan lengkuk (jangkitan Covid-19)," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan media tentang keadaan beberapa lebuh raya menghala keluar dari ibu negara yang sesak pada Sabtu.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan wujudnya gerakan 'pulang kampung' oleh warga kota berikutan pelaksanaan 'total lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 hingga 14 Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di kementerian itu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, sekiranya individu itu 'lari' kerana mahu mengelak penguatkuasaan 'total lockdown' yang dilakukan di ibu kota, penguatkuasaan sama juga dilakukan di tempat lain.

"Misalnya, kalau dia kata tak nak tengok muka polis di Gombak, dia nak balik ke Larut, di Larut pun ada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Hamzah, kerajaan mahu semua rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan bukan sahaja melalui penguatkuasaan tetapi juga disiplin kendiri rakyat.

"Kalau kita dapat lakukan ini, ia akan jadi (tindakan) yang terbaik untuk kita semua," katanya.