X

Kindly register in order to view this article
!

Pembelian barangan keperluan di Perak terkawal

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Klebang, pada Sabtu.
A
A

IPOH - Pembelian barangan keperluan di Perak menjelang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama bermula Selasa ini terkawal.

Tinjauan Sinar Harian di tiga pasar raya di sekitar bandar raya Ipoh mendapati orang ramai tidak beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan masing-masing.

Tempoh menunggu giliran untuk masuk ke pasar raya juga tidak terlalu lama memandangkan jumlah pelanggan yang tidak ramai.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri juga memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas mencukupi.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna di Perak supaya bertenang terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan 'total lockdown' pada Jumaat.

Menurut beliau, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan memastikan keperluan asas mencukupi dan mudah diperoleh sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan tersebut.

Beliau berkata, bekalan barangan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit adalah stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

"Justeru, rakyat di Perak dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian yang banyak dan tidak tergesa-gesa kerana dikhuatiri akan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan setempat dan secara tidak langsung mencetuskan situasi panik dalam kalangan pengguna.

"Sebaliknya, mereka disarankan supaya membuat pembelian barangan secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus turut menyarankan orang ramai membeli secara dalam talian bagi membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Katanya, bagi peniaga dan peruncit pula digalakkan supaya melakukan kawalan kendiri di premis masing-masing dengan menentukan had kuantiti jualan barangan yang bersesuaian dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.

"Jika terdapat isu-isu berkaitan kekurangan bekalan barang keperluan di mana-mana kawasan, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada pihak KPDNHEP Perak untuk tindakan susulan melalui saluran yang ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!