KDN perketat kawalan sempadan di laluan panas

Hamzah meninjau Bilik Gerakan KDN yang akan beroperasi 24 jam bermula 1 Jun ini.
Hamzah meninjau Bilik Gerakan KDN yang akan beroperasi 24 jam bermula 1 Jun ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan sempadan terutama di laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia bagi mencegah kemasukan pendatang asing secara haram dan mengekang penularan Covid-19.

Menurut beliau, untuk tujuan itu kementeriannya menggerakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin untuk melakukan penugasan.

"Jabatan Imigresen Malaysia bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara.

"Kalau masih ada warga asing yang degil kita akan tangkap dan kita akan pastikan penjara bersedia untuk menempatkan mereka yang ditahan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama peringkat KDN di kementerian itu pada Sabtu.

Kerajaan pada Jumaat mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Hamzah memberitahu, Malaysia mempunyai penjara satelit dan depoh tahanan satelit yang boleh digunakan untuk menempatkan kesemua warga asing yang ditahan.

Artikel Berkaitan:

"KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah 'total lockdown’ kali ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Beliau berkata, untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan jabatan di bawahnya berhubung pelaksanaan ‘total lockdown’, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan jabatan itu yang sudahpun beroperasi ketika ini.

Katanya, Bilik Gerakan KDN pula akan mula beroperasi 24 jam bermula 1 Jun ini.

Infografik

- KDN: 03-8886 8110 atau 03-8886 8126

- PDRM: 03-2266 3333, 03-2266 3334 atau 03-2031 9999

- Jabatan Penjara Malaysia: 03-8737 2342

- Jabatan Imigresen Malaysia: 03-8880 1555

- JPN: 03-8880 7077

- APMM: 03-8943 4001 (Pusat Operasi Maritim-POMAR) 019-261 1833 (WhatsApp) 03-8941 3140 (Maritime Rescue Coordination Centre-MRCC)

- Jabatan Sukarelawan Malaysia: 03-8870 3692