Rombakan Finas perkasakan industri filem negara

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yakin rombakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dilakukan Disember lepas mampu memperkasakan industri filem di negara ini.

Katanya, pelantikan anggota lembaga pengarah baharu Finas, termasuk Panel Penasihat dapat membantu menyelesaikan pelbagai isu serta masalah berbangkit dalam industri itu.

“Seperti mana semua maklum, saya telah buat rombakan besar dalam Finas, satu perkara yang saya berikan penekanan adalah memastikan terdapat wakil untuk semua dalam industri ini.

“Apa yang penting kita mahu tukar pendekatan, di mana sekarang kita bekerjasama (dengan penggiat industri) dengan turun padang untuk memahami dan menyelesaikan masalah yang kita sedar wujud sejak sekian lama,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Anugerah Pengeluar Filem Cemerlang, di sini hari ini.

Disember lepas, kementerian mengumumkan barisan anggota baharu Finas dengan setiausaha bahagian kanan (pengurusan) kementerian itu, Datuk Samsuni Mohd Nor sebagai pengerusi.

Gobind berkata, antara masalah yang membelenggu penggiat industri filem adalah isu hak cipta dan cukai.

“Bulan lalu saya bertemu ramai penggiat seni, dan saya dapat banyak maklum balas. Maka kita perlu lakukan banyak kerja,” katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut, Gobind mengingatkan pemain industri sentiasa mengikut trend dan teknologi terbaharu serta kemahiran pemasaran yang kreatif untuk mempromosikan produksi mereka, sesuai dengan keperluan industri hiburan global yang amat memerlukan bahan kandungan.

Artikel Berkaitan:

"Kandungan adalah amat penting, dan kita jangan membazirkan masa, bagi menggunakan sumber dan insentif untuk membimbing, memupuk dan menyediakan latihan untuk industri tempatan bagi menghasilkan kandungan yang luar biasa, jika kita mahu menjadi setaraf dengan yang lain di seluruh dunia,” katanya.

Katanya lagi, pemain industri di sini amat bertuah kerana Malaysia kaya dengan budaya dan kepelbagaian yang menawarkan khazanah yang banyak untuk penceritaan filem dan juga program televisyen. - Bernama