Covid-19 semakin buruk, 8,290 kes baharu hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Krisis Covid-19 semakin buruk apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 8,290 kes positif direkodkan hari ini.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi selama empat hari berturut-turut bermula Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 549,514.

Menurutnya, semua negeri dan wilayah merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan Selangor kekal negeri tertinggi, iaitu 2,052 kes.

"Ia diikuti oleh Kelantan (851), Kuala Lumpur (830), Johor (762) dan Sarawak (698)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Kedah merekodkan 544 kes, Pulai Pinang (421), Perak (405), Melaka (380), Sabah (308), Pahang (254), Terengganu (207), Putrajaya (44), Perlis (lapan) dan Labuan (enam).

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 72,823 kes aktif di seluruh negara yang mana 808 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 403 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah kematian yang dilaporkan hari ini sebanyak 61 kematian melibatkan Selangor (19), Negeri Sembilan (lapan), Kuala Lumpur (enam), Kedah (lima), Johor (empat), Sarawak (empat), Melaka (tiga), Perak (tiga) Pulau Pinang (dua), Kelantan (dua), Labuan (dua), Terengganu (dua) dan Sabah (satu).

"Jumlah kumulatif kematian adalah 2,552 kes," katanya.

Beliau berkata, seramai 4,814 pesakit telah disahkan sembuh daripada Covid-19.

"Jumlah keseluruhan kes pulih adalah 474,139 kes," katanya.

Tambahnya, KKM mengenal pasti 21 kluster baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlahnya keseluruhan kluster 2,123.

"Jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,509 kluster manakala 614 masih aktif," katanya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM, 21 kluster baharu dikenal pasti membabitkan masing-masing enam kluster tempat kerja dan komuniti, empat kluster keagamaan, tiga kluster pendidikan termasuk pendidikan tinggi.

Selain itu, satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan turut dikesan.