Sewa kereta, jual kepada orang lain

Muhammad Nizamuddeen bersama Perodua Axia miliknya yang ditemui di Tanah Merah, Kelantan pada Jumaat.
Gambar kanan: Keadaan asal Perodua Axia sebelum diubah suai dan dijual.
Muhammad Nizamuddeen bersama Perodua Axia miliknya yang ditemui di Tanah Merah, Kelantan pada Jumaat. Gambar kanan: Keadaan asal Perodua Axia sebelum diubah suai dan dijual.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang pengusaha perkhidmatan kereta sewa di Bukit Beruntung di sini lega apabila kereta jenis Perodua Axia miliknya yang dilarikan seorang penyewa sejak 12 Mei lalu berjaya ditemukan semula dalam keadaan baik.

Muhammad Nizamuddeen Mohd Abd Kadzar, 27, berkata, selepas kehilangan keretanya tular di media sosial, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam bahawa kenderaan itu berada di Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, dia bersama adiknya bergegas ke Tanah Merah sekitar jam 5 pagi Jumaat dan berjaya mengesan kenderaan itu sekitar jam 11 pagi.

"Namun, kenderaan tersebut tidak dipandu oleh penyewa asal, sebaliknya oleh seorang lelaki berusia 40 tahun yang mendakwa telah membeli kereta itu dengan bayaran deposit sebanyak RM1,500.

"Dia dimaklumkan bahawa kereta itu 'kereta sakit' dan akan menyambung bayaran ansuran selepas urusan dokumen kenderaan itu diperoleh daripada pihak yang menjual kereta berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Nizamuddeen berkata, kenderaan tersebut bagaimanapun telah diubah suai kepada cermin gelap selain nombor plat kenderaan juga ditukar kepada saiz kecil.

"Sementara penyewa asal pula tidak dapat dikesan namun dipercayai masih berada di sekitar Kelantan bersama anak perempuannya.

" Kenderaan tersebut telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan dan akan dibawa pulang selepas urusan berkaitan selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada pihaknya ada memasang sistem kedudukan global (GPS) pada kenderaan sewa itu, Muhammad Nizamuddeen berkata, kereta itu mempunyai alat keselamatan itu namun tidak berfungsi.

"Alat pengesan itu dipercayai telah dicabut oleh penyewa itu sebelum menjualnya kepada individu tidak dikenali.

"Walau apa pun, saya bersyukur kereta saya ditemui semula. Saya harap pengusaha kereta sewa lain lebih berhati-hati bagi mengelak insiden sama menimpa mereka," katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang lelaki berusia 38 tahun dan beralamat di Batu Caves dicari kerana dipercayai melarikan kenderaan berkenaan sejak 12 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki bawa lari kereta sewa