FAMA bantu beli 100 tan tembikai empat pekebun

Kakitangan FAMA membeli tembikai yang diusahakan Ain Izzuddin di ladang miliknya di Kampung Ubai, Pekan. Gambar kecil: Ain Izzuddin
Kakitangan FAMA membeli tembikai yang diusahakan Ain Izzuddin di ladang miliknya di Kampung Ubai, Pekan. Gambar kecil: Ain Izzuddin
A
A
A

KUANTAN - Lebih 100 tan tembikai keluaran empat pekebun di Kampung Ubai, Pekan dan Muadzam Shah, Rompin yang tidak dapat dipasarkan telah dibeli oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.

Pengarah FAMA Negeri, Noh Nik Wan berkata, pembelian itu dibuat bagi mengelak pekebun berdepan kerugian kerana menghadapi masalah pemasaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 termasuk kejatuhan harga.

Menurutnya, aktiviti pembelian itu diadakan secara berperingkat bermula awal bulan lalu sehingga kini menggunakan sistem harga semasa yang ditetapkan FAMA.

"Usaha (pembelian) ini kita akan laksanakan selagi ada permintaan daripada pekebun. Tujuannya adalah untuk memastikan petani atau pekebun tidak mengalami kerugian disebabkan hasil tanaman mereka tidak dapat dipasarkan.

"Jadi, kita cuba bantu dan kebanyakan pekebun ini terdiri daripada peserta ladang kontrak FAMA, selain mereka ini juga sudah mengadakan perjanjian dengan pihak kita untuk membeli hasil kebun mereka apabila keadaan memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noh berkata, FAMA tidak memaksa peserta ladang kontrak menjual semua hasil ladang kepada pihaknya, sebaliknya mereka boleh membuat pilihan mengikut tawaran harga yang lebih tinggi dan memuaskan.

Katanya, setiap tahun FAMA bertindak membeli tembikai keluaran pekebun di Pahang dan usaha itu dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada lambakan hasil berlaku sehingga merugikan golongan pekebun.

Ditanya mengenai dakwaan seorang pekebun Kampung Ubai yang tidak dapat memasarkan tembikai mereka, beliau bagaimanapun berkata, pada peringkat awal pekebun berkenaan tidak berminat menjual hasil kebunnya kepada FAMA disebabkan faktor harga, namun isu itu berjaya diselesaikan selepas pekebun terbabit bersetuju menjual sebahagian hasil kepada FAMA.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah buat pembelian dua kali sebanyak tiga tan dengan menggunakan sistem harga semasa yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

"Pihak FAMA juga akan terus membeli hasil petani Kampung Ubai sekirannya diperlukan," katanya.

Sementara itu salah seorang pekebun, Ain Izzuddin Mohd Ghazali, 26 mengakui dia berpuas hati apabila dapat menjual tembikai keluaranya kepada FAMA Pahang dengan harga semasa.

"Saya ucapkan terima kasih kepada FAMA yang tampil membantu membeli sebahagian tembikai jenis boci yang dikeluarkan, tanpa sokongan FAMA pastinya kerugian lebih besar terpaksa ditanggung berikutan pasaran yang terhad selepas pelaksanaan PKP," katanya.

Sinar Harian sebelum ini ada menyiarkan berhubung kesukaran Ain Izzuddin untuk memasak hasil tanamannya sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM21,000 pada pertengahan Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekebun tembikai rugi buah tidak terjual