X

Kindly register in order to view this article
!

Dah daftar vaksin Covid-19, jangan tak datang pula

A
A

MERAK Jalanan antara jutaan rakyat Malaysia yang kecewa apabila gagal menembusi laman web www.vaksincovid.gov.my untuk membuat tempahan slot pusingan kedua suntikan vaksin AstraZeneca.

Walaupun kecewa dan marah tetapi Merak Jalanan husnuzon saja. Mungkin capaian trafik tinggi menyebabkan orang ramai tidak dapat menempah slot biarpun telah menunggu di hadapan telefon bimbit atau komputer lebih awal sebelum waktu pendaftaran dibuka.

Dengan hati dan fikiran terbuka, Merak Jalanan hadam jawapan balas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim bahawa kerajaan bersedia untuk menambah baik kelemahan sistem pendaftaran vaksin Covid-19.

Katanya, permohonan untuk slot vaksin itu di luar jangkaan. Apa pun, bagi mereka yang berjaya, syabas dan tahniah Merak Jalanan ucapkan.

Terbukti anda mempunyai kesedaran tinggi dalam usaha membantu kerajaan memerangi Covid-19.

Tapi, Merak Jalanan ingin memberi peringatan kepada mereka yang telah membuat pendaftaran. Bila tiba giliran anda dipanggil, jangan tak muncul pula.

Jadikan kes di Kelantan, Perak dan Melaka sebagai iktibar apabila ramai tidak hadir menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan.

Seperti dilaporkan dalam akhbar, 10,000 orang tidak hadir vaksinasi di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mujur, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menggantikan nama mereka dengan individu yang memenuhi kriteria sekali gus mengelak pembaziran vaksin.

Kebimbangan mengenai suntikan vaksin perlu ditolak tepi. Kempen kesedaran juga perlu ditingkatkan kerana sebahagian warga emas masih 'termakan’ dengan fakta kurang tepat mengenai vaksin hingga mendorong mereka enggan mendaftar, cuma berserah diri kerana sudah dimamah usia dan uzur.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!