Langgar SOP: Norman Hakim, Abby Abadi dikompaun RM2,000

Polis sebelum ini merekod keterangan lima individu termasuk selebriti iaitu Norman Hakim dan Abby Abadi susulan dakwaan melanggar SOP PKP kerana berziarah raya, baru-baru ini. Gambar kecil: Arjunaidi Mohamed
Polis sebelum ini merekod keterangan lima individu termasuk selebriti iaitu Norman Hakim dan Abby Abadi susulan dakwaan melanggar SOP PKP kerana berziarah raya, baru-baru ini. Gambar kecil: Arjunaidi Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 masing-masing terhadap selebriti Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan aktiviti ziarah raya baru-baru ini.

Turut dikompaun ialah selebriti Abby Abadi dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria juga masing-masing sebanyak RM2,000 kerana turut serta dalam aktiviti berkenaan di sebuah rumah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis telah menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mengeluarkan kompaun tersebut.

"Kesemua individu itu telah ditawarkan kompaun sebanyak RM2,000," katanya pada sidang akhbar di Google Meet di sini pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar keluarga selebriti terbabit yang disyaki tidak tinggal serumah berkumpul menyambut hari raya bersama.

Difahamkan, menerusi gambar berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku di kediaman selebriti berkenaan di Hulu Kelang membabitkan kira-kira 13 individu yang disyaki satu keluarga.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan kes terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (P.U.(A) 225/2021).

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah raya: Norman, Abby Abadi direkod keterangan

Artikel Berkaitan: