Dapat RM500 tapi minta bayar RM2,000

Choon Guan (dua dari kiri) dan Wse Tse pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau pada Rabu.
Choon Guan (dua dari kiri) dan Wse Tse pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang peniaga mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000 tidak kesampaian, malah terpaksa berdepan pelbagai ugutan selepas ditipu sindiket ceti haram yang menyamar sebagai ejen bank.

Malah, lelaki itu turut diugut akan dipotong tangan sekiranya tidak membuat bayaran yang ditetapkan.

Mangsa, Liew Choon Guan, 30, yang menjalankan perniagaan pengurusan jenazah berkata, segalanya bermula ketika dia melayari laman Facebook yang memaparkan logo bank dan iklan pinjaman wang pada 5 Jun lalu.

Menurut Choon Guan, dia yang berminat untuk membuat pinjaman telah berhubung dengan seorang lelaki bernama Aaron yang mengaku sebagai ejen sebuah institusi kewangan.

"Lelaki berkenaan memberi penerangan berkaitan pembayaran dan bagi proses permohonan pinjaman, saya menyerahkan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan, slip gaji, gambar, slip gaji serta bil elektrik seperti diminta.

"Saya kemudian difahamkan pinjaman peribadi berkenaan sudah diluluskan dan tidak lama selepas itu saya menerima wang RM500 yang dimasukkan ke akaun bank saya," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di sini pada Rabu.

Choon Guan berkata, dia hanya menyedari Aaron adalah ahli sindiket ceti haram selepas dia didesak membuat bayaran sebanyak RM2,000.

"Saya tidak membuat sebarang bayaran sebagaimana yang diminta. Saya juga menyatakan akan memulangkan semula wang yang dipinjam dan meminta mereka tidak mengganggu saya.

"Tetapi, mereka tetap meminta saya untuk menjelaskan bayaran RM2,000 yang ditetapkan. Malah mereka juga ugut akan potong tangan saya dan sebarkan maklumat peribadi saya di laman sosial," katanya.

Jelasnya, dia semakin bimbang dengan keselamatan dirinya dan kedua ibu bapanya akan diugut oleh ahli sindiket.

Sementara itu, Wse Tse meminta orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyerahkan butiran peribadi kepada pihak ketiga tanpa ada pengesahan yang sebenar.

"Semakin banyak kejadian penipuan membabitkan media sosial dan pinjaman tidak wujud seumpama ini.

"Oleh itu, saya minta orang ramai sepatutnya lebih berhati-hati dengan taktik licik ceti haram yang menyamar sebagai ejen bank dan sebagainya untuk memerangkap mangsa baharu," katanya.