X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga rugi hampir RM8,000 terpedaya pinjaman tidak wujud

Peniaga kerugian hampir RM8,000 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud di laman sosial. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian hampir RM8,000 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Fecebook pada Jumaat lalu.

Mangsa berusia 28 tahun membuat pinjaman sebanyak RM10,000 dengan kadar bayaran RM294 sebulan selama tiga tahun.

Bagaimanapun setelah semua bayaran proses dijelaskan dengan jumlah keseluruhan RM7,801, mangsa gagal menerima wang yang dipinjam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Rompin pada Rabu selepas syak telah ditipu apabila wang proses yang dijelaskan juga gagal dikembalikan.

Menurutnya, lebih malang, mangsa juga terpaksa meminjam daripada isteri dan rakan untuk menjelaskan bayaran proses pinjaman tersebut.

"Bayaran yang dibuat pada 24 dan 25 Mei lalu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki melalui transaksi pindahan wang daripada akaun sendiri, isteri dan seorang rakan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kerugian lebih RM1,000 selepas terpedaya dengan iklan lelongan emas murah di Instagram.

Mohd Wazir berkata, wanita berusia 34 tahun itu berminat untuk membeli gelang tangan emas yang ditawarkan pada harga RM217.

"Mangsa telah berurusan dengan penjualnya dipercayai warga Indonesia melalui aplikasi WhatsApp dan diminta membuat bayaran melalui dua akaun bank berbeza.

"Mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan dengan jumlah bayaran keseluruhan RM1,067 jauh lebih tinggi daripada harga barang kemas yang dibeli," katanya.

Menurutnya, mangsa syak telah ditipu apabila lelaki itu gagal dihubungi selepas semua bayaran dijelaskan.

"Kita percaya mangsa dalam kes ini telah diperdaya dengan tawaran lelongan emas tidak wujud hingga terpaksa menanggung kerugian.

"Kedua-dua kes ini dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!