X

Kindly register in order to view this article
!

Kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 dorong terima vaksin

Wanita berusia 30 tahun bersama 23 ahli keluarga ditempatkan di Stesen Kuarantin (QS) di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa selepas menjadi kontak rapat adik lelaki yang positif Covid-19.
A
A

KOTA BHARU - Diuji pengalaman pahit apabila seorang ahli keluarga meninggal dunia akibat positif Covid-19 hingga menjangkiti 15 lagi saudara mereka mendorong sebuah keluarga tidak lagi ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.

Salah seorang daripada mereka, bekas wartawan Sinar Harian, Rosalwani Che Soh, 40, berkata, bagaikan satu mimpi ngeri ketika keluarganya seramai 15 orang disahkan positif Covid-19 sekali gus, sedangkan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencegahan penularan Covid-19.

“Kami pada mulanya menziarahi abang ipar yang meninggal dunia akibat serangan jantung namun selepas bedah siasat, jenazah disahkan Covid-19 menyebabkan kami semua dijangkiti.

“Saya terduduk ketika mendapat laporan yang mengesahkan saya bersama 15 ahli keluarga positif Covid-19. Bahkan ada dalam kalangan kami berusia dua tahun telah mengalami gejala iaitu demam dan sukar bernafas. Jadi saya mahu vaksin,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Zainab Mahmood, 76, berkata, dia kini menunggu panggilan kedua untuk suntikan vaksin.

Dua beranak bekas pesakit Covid-19, Rosalwani Che Soh, 40, (kiri) dan ibunya, Zainab Mahmood,76, menunggu giliran dipanggil oleh Jabatan Kesihatan Kelantan bagi mendapatkan vaksin
Dua beranak bekas pesakit Covid-19, Rosalwani Che Soh, 40, (kiri) dan ibunya, Zainab Mahmood,76, menunggu giliran dipanggil oleh Jabatan Kesihatan Kelantan bagi mendapatkan vaksin

“Ambillah vaksin. Jangan memandang ringan janji temu untuk vaksin kerana masih ramai di luar sana yang menunggu untuk vaksin tetapi tertangguh pula disebabkan oleh individu yang tidak datang janji temu,” kata warga emas itu.

Sebuah lagi keluarga juga berkongsi pengalaman yang sama apabila ahli keluarga dijangkiti Covid-19 turut mendorong mereka yang terdiri daripada 23 individu ingin segera diberikan suntikan vaksin melalui pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kesemua mereka berusia antara dua tahun dan 60 tahun yang kini ditempatkan di Stesen Kuarantin (QS) di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini.

Seorang daripada mereka yang enggan namanya didedahkan berkata, adik lelakinya disahkan positif Covid-19 menyebabkan mereka sekeluarga yang tinggal sekampung di Kampung Pantai Haji Nik Mat menjadi kontak rapat.

“Kami seramai 23 orang kesemuanya termasuk kanak-kanak berusia dua tahun ditempatkan di sini. Kami mahu segera divaksin.

“Buat masa ini kami masih menunggu keputusan swab dan mengharapkan keputusannya negatif serta boleh bebas selepas 10 hari kerana tidak mahu berada dalam kalangan mereka yang mungkin positif Covid-19,” katanya ketika ditemui di QSdi Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!