Insiden LRT: Faktor manusia hanya satu daripada aspek siasatan

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Faktor manusia hanya satu daripada aspek dalam siasatan ke atas insiden tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Isnin lalu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, siasatan akan turut mengambil kira keseluruhan komponen teknikal dan pengoperasian.

Ka Siong berkata demikian dalam kenyataan pada Rabu bagi mengulas tanggapan yang merumuskan faktor manusia sebagai penyumbang kepada kejadian dua tren LRT bertembung, menyebabkan 213 penumpang cedera pada Isnin malam.

Insiden berlaku di dalam terowong bawah tanah di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru, membabitkan sebuah tren membawa penumpang dan satu tren tidak berpenumpang yang sedang dipandu uji.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, jawatankuasa siasatan peringkat kementerian yang dianggotai sembilan orang dan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak sudah mula meneliti pelbagai aspek berkaitan insiden itu.

Menurutnya, hostler yang terlibat juga diuji negatif dadah selain individu berkenaan turut perlu diberi peluang memberi keterangan tanpa sebarang prejudis.

“Siasatan seterusnya akan meneliti tentang bagaimana dan mengapa perintang keselamatan dilanggar dan menyebabkan insiden itu serta mengemukakan syor keselamatan penuh untuk mengelak kejadian serupa daripada berulang,” katanya.

Ka Siong berkata, jawatankuasa siasatan juga akan mendapatkan pandangan pihak luar bagi menyediakan laporan akhir.

Artikel Berkaitan:

“Aspek keselamatan sistem pengangkutan LRT sebagai sumber awam penting tidak boleh dikompromi. Justeru, amat penting sebarang lompang dalam aspek keselamatan ini dikenal pasti,” katanya.

Mengenai mangsa yang terlibat, Ka Siong berkata, keseluruhan 67 individu dirawat di Hospital Kuala Lumpur dengan 61 sudah didiscaj manakala enam masih menerima rawatan termasuk tiga dalam rawatan rapi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: LRT bertembung: Enam penumpang kritikal

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu tren LRT negatif dadah: Polis