#STOK PAGI Tok Mat kini digantung 17 tahun

A
A
A
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail menerima satu lagi perkhabaran mengejut daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang menambah hukuman penggantungan terhadap beliau daripada 15 tahun kepada 17 tahun.

Tindakan itu dibuat selepas Ahmad atau lebih mesra disapa Tok Mat gagal melunaskan kos perbicaraan tatatertib yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) sebelum ini.

Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpirat memaklumkan bahawa Ahmad gagal membayar jumlah kos perbicaraan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 14 hari.

“Jumlah kos pembayaran telah dimaklumkan kepada Ahmad selepas keputusan diputuskan Panel Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAFDP) pada 6 Mei lalu.

“Tempoh 14 hari bagi Ahmad menghantar rayuan kepada ASTAF sejak 6 Mei lalu juga telah pun berakhir. Jadi ASTAF memutuskan mengenakan penggantungan tambahan dua tahun lagi sekali gus keseluruhan penggantungan adalah 17 tahun.

“Penggantungan ini juga menyaksikan Ahmad dilarang membabitkan diri dalam aktiviti sepak takraw selaku pemain, jurulatih, pegawai di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Ahmad pada Selasa.

Sebelum ini, Ahmad dikenakan penggantungan selama 15 tahun oleh ASTAF selepas didakwa melanggar beberapa peraturan yang digariskan badan induk sepak takraw Asia itu.

Antara pertuduhan adalah melanggar Artikel 5.5 Perlembagaan ASTAF apabila Ahmad menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan meminta dua badan berkenaan untuk campur tangan dalam Pemilihan Ahli Majlis Astaf pada 1 Mac lalu.

Akibat kesalahan yang dilakukan, ASTAFDP yang dianggotai wakil dari tujuh negara turut memutuskan Ahmad perlu membayar semula kepada ASTAF AS$25,000 bagi menampung kos perbicaraan panel tatatertib berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Pada 20 Mei lalu, PSM disingkirkan daripada ahli gabungan ASTAF berkuatkuasa serta-merta selepas didakwa melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Bagaimanapun, PSM yang kini 'kehilangan' suara majoriti apabila 11 ahli gabungannya menarik diri diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada ASTAF atas pertuduhan yang dikenakan itu.