Rakyat tempatan pertama dikesan dijangkiti varian India

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Seorang rakyat tempatan menjadi individu pertama di negara ini dikesan dijangkiti varian Covid-19 dari India, B.1.671.2

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu berkenaan merupakan kontak rapat kepada warga India yang sama- sama menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 23 April lalu.

"Warga India tersebut telah dikesan positif Covid-19 sewaktu dalam tempoh kuarantin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, warga tempatan itu mempunyai gejala pada 3 Mei dan menjalani ujian RTK-Ag pada hari yang sama.

"Dia dikesan positif menerusi ujian calitan RT-PCR pada keesokan harinya," katanya.

Beliau berkata, kemunculan varian baharu Covid-19 di dalam komuniti semakin membimbangkan.

"Seperti yang telah diketahui, varian baharu ini mempunyai kadar kebolehjangkitan Covid-19 dan kematian yang lebih tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel Covid-19 dari 17 sehingga 23 Mei telah mengesahkan kewujudan 13 lagi kes Variant of Concern (VOC).

Artikel Berkaitan:

"Terdapat 12 kes baharu yang dijangkiti varian South African B.1.351 telah dikesan di Kedah, Perlis, Selangor, dan Johor.

"Satu kes melibatkan rakyat tempatan dijangkiti B.1.617 (sublineage B.1.617.2) telah dikesan di Labuan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 78 kes.

"Varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak enam kes," katanya.

Memperincikan jangkitan varian South African B.1.351, beliau berkata, terdapat 20 kes dikesan dalam saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

"10 kes masing-masing dikenal pasti di dalam Kluster Jalan Canning Estate dan Kluster Bunut Sarang Burung," katanya.

Ujarnya, sembilan kes varian B.1.351 turut ditemui dalam Kluster Kebun Baru.

"Terdapat tujuh kes dalam Kluster Kampung Domis, Kluster Bayan Cenderawasih (enam), Kluster Jalan Lima (empat), saringan bergejala (empat), Kluster Teknologi Emas (tiga), lain-lain saringan (tiga), Kluster Bangkahulu (satu) dan jangkitan selepas vaksinasi (satu)," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan terus mengamalkan Kawalan Pergerakan Kendiri di rumah atau PKP Kendiri dengan penuh tanggungjawab.

"Bagi tempoh dua minggu ini duduklah di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar.

"Kita memerlukan tempoh masa ini bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia," katanya.