Masih ramai tidak guna MySejahtera

Seorang anggota polis membuat pemeriksaan penggunaan aplikasi MySejahtera di sebuah pusat beli-belah selepas penguatkuasaan SOP PKP 3.0 yang lebih ketat hari ini. Foto Bernama
Seorang anggota polis membuat pemeriksaan penggunaan aplikasi MySejahtera di sebuah pusat beli-belah selepas penguatkuasaan SOP PKP 3.0 yang lebih ketat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Masih ramai pelanggan premis peruncitan di Putrajaya yang tidak memanfaatkan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau membuat rumusan itu ketika mengadakan tinjauan di beberapa premis peruncitan di sini hari ini termasuk IOI City Mall selepas mendapati masih ramai yang menulis di dalam buku dan tidak menggunakan MySejahtera.

"Saya seru semua gunakan aplikasi itu kerana banyak kebaikan terutama dalam pengesanan kontak dan komunikasi,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan itu.

Semalam, Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, had masa maksimum dua jam bagi pelanggan di premis peruncitan akan dipantau menerusi aplikasi MySejahtera apabila mereka mendaftar masuk ke premis bagi memudahkan anggota KPDNHEP mahupun pihak premis melakukan pemantauan jika perlu.

Hasnol Zam Zam berkata, pelanggan yang mengambil masa melebihi had maksimum dua jam untuk membeli-belah terutama di pasar raya berdepan tindakan kompaun kerana melanggar SOP.

Katanya, had masa dua jam yang diberikan adalah munasabah iaitu tidak terlalu cepat atau lama bagi membolehkan pengguna merancang pembelian mereka sebaiknya.

Beliau turut memuji usaha IOI City Mall yang menggunakan kaedah memberi pelekat kepada setiap pelanggan yang ditulis tarikh dan waktu kehadiran kerana setiap pusat beli-belah perlu menggunakan kaedah tertentu, bergantung kepada kesesuaian dan limitasi, untuk pematuhan SOP.

Pengurus Keselamatan IOI City Mall Mohamad Abu Talib pula berkata, selain memberikan pelekat kepada pelanggan, pihaknya juga membuat catatan secara manual bagi mereka yang mempunyai masalah menggunakan aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga ada pemantauan dalam pusat beli-belah oleh polis bantuan dan perkhidmatan pelanggan. Sekiranya pelanggan didapati melebihi had masa, kami akan memohon kerjasama pelanggan untuk meninggalkan premis secara baik bagi mengelakkan pertelingkahan,” kata pesara polis itu. - Bernama