Belia perlu jadi rakan kepimpinan, bukan sekadar pemimpin masa hadapan - Anwar

Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan muda tidak lagi wajar dianggap sekadar "pemimpin masa hadapan”, sebaliknya perlu bangkit sebagai rakan kepimpinan yang bersama-sama mencorak hala tuju negara hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, cabaran dan naratif geopolitik semasa, memerlukan penglibatan proaktif generasi muda untuk bersama-sama mempertahankan martabat negara.

"Anda bukan sahaja pemimpin masa hadapan, tetapi juga pemimpin masa kini yang berkerja bersama-sama. Anak muda sekarang juga harus bersama-sama membantu dan memimpin negara,” kata beliau merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim serta Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana, Fanitsyara Kam Phon.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menitipkan peringatan kepada generasi muda agar tidak mengambil mudah soal kestabilan dan keselamatan negara dengan membiarkan sentimen kebencian serta perkauman terus mekar.

Mengambil iktibar sejarah dunia, Perdana Menteri berkata kejatuhan sesebuah tamadun sering kali berpunca daripada permusuhan sesama sendiri dan ketidakmampuan memupuk semangat kesatuan.

"Anak-anak jangan andaikan bahawa negara ini akan kekal selamat dengan membiarkan beberapa kelemahan ketara, seperti memupuk kebencian, perseteruan antara kaum, agama, wilayah, itu yang boleh membawa perpecahan dan kemusnahan," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, keistimewaan dan kekuatan Malaysia berpaksikan kepada kepelbagaian kaum, agama dan wilayah, bukannya terheret dengan retorik politik perkauman yang memecahbelahkan.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru generasi muda pelbagai kaum dan etnik di seluruh negara untuk berdiri teguh menolak sebarang bentuk adu domba.

Artikel Berkaitan:

"Saya memilih untuk menyatakan Malaysia ini hebat, kerana kita boleh kumpul dan rangkul kekuatan ini. Semua saya anggap satu kekuatan yang boleh menguatkan dan mengangkat kita," katanya

Menyentuh aspek tatakelola, Perdana Menteri berkongsi teladan integriti yang dipelajarinya sejak zaman kanak-kanak sebagai pedoman kepada anak muda agar membenci amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa demi mengaut kekayaan.

Mengimbas kembali ketika berusia lapan tahun, Anwar menceritakan bagaimana ketegasan neneknya yang memaksa beliau memulangkan empat biji buah pala, yang diambil tanpa izin dari ladang berhampiran kampung pada waktu malam.

"Nenek saya kata...Anwar, kalau ambil tanpa kebenaran daripada siapa juga, walaupun empat biji buah pala, hukumnya itu curi dan mencuri itu dosa," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, pengajaran disiplin dan nilai moral yang ketat itu, membentuk prinsip asasnya apabila diangkat menerajui negara untuk tidak sesekali membiarkan sesiapa pun mencuri atau menyeleweng apa juga milik kerajaan.

Pada masa sama, beliau meluahkan kekecewaan terhadap kecenderungan segelintir pihak, yang membuta tuli mempertahankan kepimpinan terpalit rasuah hanya atas dasar pertalian kaum atau sentimen kepartian.

Justeru, Perdana Menteri menggesa belia supaya tidak bersekongkol dengan pemikiran sedemikian, sebaliknya bangkit menolak mana-mana pemimpin yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!