Lelaki pakai gelang 'pink' berkeliaran di kompleks makanan dikompaun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS- Seorang lelaki yang masih memakai gelang merah jambu antara 27 lelaki yang dikompaun dalam Ops Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang dijalankan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima maklumat awam berhubung perkara tersebut ketika operasi dijalankan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki yang berusia 58 tahun itu sedang berkeliaran di Kompleks Makanan Telok Air Tawar, Butterworth dengan memakai gelang berwarna merah jambu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki tersebut masih dalam tempoh kuarantin dan gelang merah jambu itu milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Oleh demikian, dia dikenakan kompaun RM4,000 kerana berada di tempat awam semasa dalam tempoh kuarantin," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, selain lelaki tersebut, 26 lelaki turut dikompaun dalam operasi yang sama ketika pelaksanaan PKP 3.0.

Tambahnya, kesemua yang dikompaun kerana melanggar pelbagai SOP itu berusia lingkungan 46 hingga 61 tahun.

"Salah seorang daripada 26 lelaki tersebut merupakan pemilik kilang berusia 57 tahun yang mana dia dikompaun RM2,000 kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera selain didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, 25 lelaki lain masing-masing dikompaun RM1,500 kerana berkumpul di tempat awam iaitu lapan di sebuah pondok di Kepala Batas, tiga di Pasar Sri Uda, enam di flat di kawasan Mak Mandin, dua di Kondominium Cassia di Jalan Raja Uda dan enam di sebuah pondok di Jalan Paya Keladi," katanya.

Noorzainy berkata, jumlah kompaun yang dikeluarkan dalam operasi tersebut sepanjang Isnin adalah RM78,500.

"Sehingga hari ini, 237 kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM694,000. Pelanggaran SOP yang kerap dilakukan adalah tiada penjarakan fizikal dengan jumlah pengeluaran 62 kompaun.

"Ia diikuti dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan jumlah kompaun sebanyak 47 dan 46 kompaun dikeluarkan di atas kesalahan merentas negeri dan daerah," katanya.