Covid-19: Kilang ayam di Tanjong Karang ditutup empat hari

Notis tutup sementara kilang ayam di Parlimen Tanjong Karang bermula jam 10 malam Isnin.
Notis tutup sementara kilang ayam di Parlimen Tanjong Karang bermula jam 10 malam Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebuah kilang ayam di Parlimen Tanjong Karang yang sebelum ini menimbulkan keresahan masyarakat di kawasan berhampiran kerana terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pekerjanya kini sudah ditutup sementara bermula jam 10 malam Isnin.

Menerusi notis perintah tutup premis terbabit yang tular di media sosial itu memaklumkan, premis berkenaan ditutup selama empat hari sehingga Jumaat.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau berterima kasih kepada semua agensi bertanggungjawab yang melakukan tindakan segera menutup sementara premis terbabit.

"Saya dimaklumkan agensi yang terlibat telah bermesyuarat dan kilang tersebut diarahkan tutup sementara untuk dibuat tindakan selanjutnya," katanya yang memuat naik status di Facebook beliau pada malam Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja positif Covid-19: Noh gesa tutup sementara kilang ayam

Noh berkata, pihaknya turut menghargai maklum balas yang diberikan penduduk setempat berkenaan isu terbabit.

"Kita perlu bersama-sama untuk menang dalam peperangan (melawan Covid-19) tanpa senjata ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Noh menggesa sebuah kilang ayam di Parlimen Tanjong Karang ditutup sementara berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pekerja warga tempatan dan asing.

Noh dilaporkan berkata, kilang terbabit telah pun mengarahkan pekerja mereka menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) dan mengesan terdapat kes positif dalam kalangan pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan tindakan menutup kilang hanya boleh dilakukan selepas pekerja terbabit menjalani Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) di klinik kerajaan.