Pasukan khas ditubuhkan siasat punca dua tren LRT bertembung

Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai tren LRT yang bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC. -Foto Bernama
Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai tren LRT yang bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, di sini malam Isnin.

Menteri berkenaan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata laporan awal mengenai insiden itu akan dihantar kepadanya oleh ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), esok pagi.

Jelasnya, MOT menjangkakan dalam tempoh dua minggu hasil siasatan oleh pasukan khas itu akan dikemukakan kepada kementerian itu.

"Dalam tempoh dua minggu kami akan kenal past punca kejadian sama ada disebabkan kesilapan dari segi sistem signalling (isyarat) atau masalah komunikasi atau kesilapan manusia," katanya pada sidang media, di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata pasukan penyiasat akan melibatkan pakar-pakar dari pelbagai agensi termasuk dari MOT, Prasarana dan APAD.

Wee berkata insiden pertembungan itu disifatkan serius dan ia kejadian yang pertama berlaku melibatkan tren LRT sepanjang 23 tahun tempoh pengoperasian kenderaan pengangkutan awam itu di negara ini.

"Impak pelanggaran juga besar, berikutan tren yang membawa penumpang bergerak dengan kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), manakala tren tanpa penumpang dengan kelajuan 20km/j.

"Kejadian ini satu iktibar buat semua pihak dan kita harus pastikan faktor keselamatan perkhidmatan pengangkutan awam perlu dititikberatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Mengenai operasi LRT bagi laluan Kelana Jaya-Gombak yang terjejas, pihak Prasana akan menyediakan bas perantara dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan, semua penumpang dan keluarga penumpang yang terkesan dengan insiden itu akan dibantu.

Wee menegaskan buat masa ini keutamaan adalah memastikan semua mangsa dirawat dan MOT bersama Prasarana akan berbincang mengenai perlindungan insurans kepada penumpang terlibat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan. - Bernama