PFM rayu benarkan aktiviti penggambaran luar studio

PFM rayu kerajaan benarkan aktiviti penggambaran di luar studio.
PFM rayu kerajaan benarkan aktiviti penggambaran di luar studio.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu agar kerajaan membenarkan pelaksanaan industri kreatif terutamanya aktiviti penggambaran, bukan dihadkan dalam studio rasmi sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden PFM Pansha berkata, peraturan baharu itu secara langsung tidak membenarkan semua aktiviti penggambaran dan penerbitan tempatan yang sedang dijalankan, dan ia hanya memberi kelebihan kepada penyiar (stesen TV) yang mempunyai studio sendiri dan tidak kepada syarikat produksi.

“Telah ada tindakan pro-aktif sebelum ini daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan melaksanakan perbincangan prosedur operasi standard (SOP) bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain agensi berkaitan aktiviti penggambaran.

“Sekiranya berlaku pertukaran status sama ada PKP, PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB) atau Diperketatkan (PKPD), penggunaan SOP yang telah dipersetujui dikekalkan, namun ia tidak menjadi realiti sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pansha berkata, PFM memahami dengan keadaan terkini jumlah kes positif Covid-19 semakin meningkat, namun peratusan adalah amat kecil datang daripada industri itu dan adalah tidak wajar untuk menghukum keseluruhannya kerana ia akan merugikan semua penerbit termasuk ‘freelancer’ yang tidak mempunya pendapatan tetap.

Selain itu menurut Pansha, kebanyakan jadual penggiat seni bertindih kerana penggambaran sering ditangguh disebabkan PKP, PKPP, PKPB atau PKPD dan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual kontrak penyiar, sehingga ada yang menerima notis peringatan dan panggilan pembatalan kontrak.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dalam tempoh PKP 3.0 dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja.- Bernama

Artikel Berkaitan: