Azmin ucap takziah pada anggota polis hilang tiga ahli keluarga

Tangkap layar Twitter Mohamed Azmin
Tangkap layar Twitter Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kisah menyayat hati Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam tempoh tiga hari akibat Covid-19 mengundang sebak dalam kalangan rakyat dan pemimpin negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengucapkan takziah kepada Siti Nurul atas kehilangan tiga anggota keluarganya itu dalam tempoh tiga hari akibat Covid-19.

Dalam ciapan di laman Twitternya, Mohamed Azmin berkata, beliau pasti semua orang turut bersedih dengan berita yang melibatkan keluarga salah seorang petugas barisan hadapan negara.

"Takziah kepada Lans Koperal Siti Nur Hawana Amran, salah seorang petugas barisan hadapan kita, yang telah kehilangan ibu, bapa dan adiknya, semua dalam masa tiga hari akibat Covid-19. Saya pasti kita semua turut bersedih dengan berita ini," ciap Mohamed Azmin di laman Twitternya itu pada Isnin.

Siti Nurul berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kehilangan bapa Amran Sadon, 56, ibu Hasminah Parmin, 57, yang meninggal dunia di Hospital Cancelor Tunku Muhriz, Cheras pada Jumaat.

Sementara itu, adiknya Muhammad Luqman Idham Amran, 20, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Ahad.

Kini yang tinggal hanyalah potret keluarga ketika mereka menyambut Aidilfitri bersama baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Ibu dan ayah saya meninggal dunia pada Jumaat. Hari yang baik dan moga kematian mereka diterima sebagai syahid.

"Belum hilang kesedihan di hati, saya mendapat berita pagi tadi (Ahad) mengenai pemergian adik bongsu saya, juga kerana Covid-19.

"Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Kehilangan ini amat besar tetapi saya cuma boleh berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama mereka yang beriman.

"Saya perlu kuat meneruskan kehidupan. ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya," katanya seperti dilaporkan Berita Harian pada Ahad.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, adik ipar dan anak saudaranya yang masih bayi turut disahkan positif Covid-19 serta menjalani kuarantin di rumah.

Siti Nurul sudah melengkapi pengambilan dua dos vaksin pada 7 Mei lalu.